Golongan muda perlu ambil langkah proaktif cegah strok

Golongan muda perlu ambil langkah proaktif cegah strok

KUALA LUMPUR,. Golongan muda perlu mengambil langkah proaktif untuk mencegah penyakit strok atau angin ahmar daripada berlaku kerana kajian menunjukkan kes strok semakin meningkat dalam kalangan mereka dengan 15 peratus melibatkan strok iskemia atau arteri tersumbat.

Strok kadang-kadang dipanggil serangan otak berlaku dalam satu daripada dua cara, arteri yang disekat (strok iskemia) atau arteri pecah (strok pendarahan).

Perunding Neurologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) Dr Kok Chin Yong berkata profesional penjagaan kesihatan telah mengesan trend peningkatan strok iskemia dalam kumpulan kerja yang lebih muda dan kira-kira 40 peratus daripada kes yang memerlukan kemasukan ke hospital adalah di bawah 60 tahun.

Beliau berkata kajian menunjukkan merokok, tidak aktif fizikal dan hipertensi selain faktor persekitaran seperti pencemaran udara adalah antara faktor utama strok.

“Golongan muda lebih mudah terdedah kepada faktor ini kerana gaya hidup mereka yang tidak aktif tabiat makanan yang tidak sihat, masa skrin yang berlebihan dan peningkatan pengambilan alkohol.

Katanya apnea tidur obstruktif (OSA) dan pengambilan dadah secara haram juga sering diabaikan, yang merupakan faktor risiko menyumbang kepada strok.

Dr Kok juga berkongsi, strok juga boleh disebabkan oleh faktor risiko yang jarang diperoleh seperti sindrom moya-moya (gangguan serebrovaskular progresif yang jarang berlaku disebabkan oleh arteri terhalang), sindrom anti-fosfolipid (menyebabkan pembekuan darah yang tidak normal) serta keabnormalan jantung.

Dengan pelbagai faktor risiko yang boleh menyumbang strok, Dr Kok mencadangkan agar golongan muda perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman yang kerap dan diet seimbang bagi menangani risiko itu.

Beliau juga tidak menggalakkan penggunaan dadah rekreasi dalam apa jua cara kerana penyalahgunaan dan berlebihan boleh mengakibatkan penyempitan saluran darah yang teruk, mengakibatkan strok.

Beliau berkata orang ramai perlu mengenal pasti dan menangani pencetus tekanan mereka dengan sewajarnya kerana tekanan adalah perkara biasa pada masa kini dan ia akan secara langsung boleh menjejaskan tingkah laku yang tidak sihat, yang meningkatkan risiko strok.

“Jika tekanan mengakibatkan tidur terjejas, maka ia adalah sesuatu yang perlu dirisaukan dan perlu ditangani. Ini kerana tidur yang kurang baik mempunyai kesan ke atas sistem imun dan menyebabkan keabnormalan dalam masalah darah dan jantung yang berpotensi menyebabkan strok,” katanya.

Beliau berkata antara simptom biasa strok yang perlu diberi perhatian ialah terkulai muka, lemah lengan dan masalah pertuturan dan orang ramai boleh menggunakan BE FAST untuk membuat penilaian.

“B untuk isu keseimbangan atau pening, E untuk masalah mata atau visual, F untuk terkulai muka, A untuk kelemahan lengan atau kaki atau kebas, S untuk gangguan pertuturan dan T untuk masa memanggil 999. Untuk penilaian lanjut, doktor akan menggunakan skala strok yang ditentukan seperti Skala Strok Institut Kesihatan Kebangsaan untuk menentukan keterukan strok. Semakin tinggi skor, semakin serius strok,” katanya.

Selain itu, Pakar Perunding Perubatan Rehabilitasi Dr Foong Chee Choong berkata rawatan dan rehabilitasi penting untuk pemulihan, namun banyak faktor perlu diambil kira seperti memilih pakar dan peralatan yang sesuai untuk membantu proses berkenaan.

“Proses pemulihan dan jenis rawatan akan berbeza dan tiada dua pesakit akan mengalami kemajuan yang sama.

Memandangkan faktor ini, doktor perlu menilai keadaan pesakit dan mencadangkan pelan rawatan yang sesuai dan berkesan yang disesuaikan dengan keperluan mereka,” kata Dr Foong.

Beliau berkata usia memainkan peranan penting dalam pemulihan strok dengan pesakit lebih muda mempunyai peluang lebih baik untuk mendapatkan mobiliti yang lebih cepat dan pulih berbanding mangsa yang lebih tua tetapi mereka juga akan mendapat manfaat yang baik daripada program pemulihan strok yang betul.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan robotik dalam pemulihan strok boleh meningkatkan proses berjalan dalam masa satu hingga tiga bulan dan membolehkan maklum balas yang tepat untuk meningkatkan pergerakan dan fungsi mereka, selain menyediakan pelbagai peringkat bantuan kepada mangsa.

Beliau menambah penggunaan jurulatih gait exoskeleton juga telah diguna pakai secara meluas di Malaysia sejak sedekad yang lepas, memberi manfaat kepada pesakit seperti kecederaan saraf tunjang, lumpuh pada bahagian bawah badan, kecederaan otak traumatik dan lain-lain lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )