Great Britain juarai SOJC buat kali ketiga
JOHOR BAHRU,. Stuart Rushmere muncul wira Great Britain apabila meledak gawang India 2-1, sekali gus menjadikan pasukan itu sebagai pasukan pertama muncul juara tiga kali Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2019, di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.
Babak pertama perlawanan, bagaimanapun, menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang-peluang yang terhidang menerusi pukulan sudut penalti selain cubaan gol padang yang tersasar dari gawang.
Gol pertama India muncul pada minit ke-49 hasil pukulan sudut penalti Gursahibjit Singh, namun, kegembiraan skuad kendalian B J Kariappa itu tidak bertahan lama apabila anak buah Jon Bleby menyamai kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Rushmere seminit kemudian.
Menambah debaran buat penonton, berbaki satu minit sebelum tamat perlawanan, Rushmere sekali lagi meledak gawang India hasil jaringan padang.
Great Britain muncul juara SOJC pada edisi 2015 dan 2018, manakala India pula pada 2013 dan 2014.
Terdahulu, pada perlawanan petang tadi, Malaysia meraih tempat ketiga selepas menewaskan Jepun 3-2 dan menerima gol sulung seawal minit ke-14 hasil jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook.
Adam Aiman Mamat menjaringkan gol kedua juga menerusi gol padang empat minit kemudian, namun Jepun bangkit meledak gol pada minit ke-23 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Riku Tamura.
Malaysia sekali lagi membuat kejutan apabila menerjah kubu lawan sekali gus memperoleh gol ketiga pada minit ke-37 menerusi jaringan padang Muhammad Syafiq Hassan.
Berbaki tiga minit sebelum tamat perlawanan, anak buah Kyoichi Nagaya melakukan serangan dan memecah kubu tuan rumah sekali lagi pada minit ke-57 hasil pukulan sudut penalti Keigo Tamura.
Sementara itu, Australia menamatkan saingan di tempat kelima selepas menewaskan New Zealand 4-2 dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam.
Edisi kali ini, Anugerah Pemain Terbaik diungguli pemain Jepun, Kosei Kawabe, manakala Anugerah Penjaring Terbanyak disampaikan kepada pemain India, Shilanand Lakra.
Penjaga Gol Terbaik pula dimenangi Oliver Payne juga dari Great Britain.
— BERNAMA