
Greyhound henti perkhidmatan bas di Kanada
OTTAWA: Selepas hampir seabad, pengendali perkhidmatan pengangkutan terbesar Amerika Utara, Greyhound mengumumkan kelmarin ia akan menghentikan operasi kesemua perjalanan bas dalam Kanada, menyalahkan pandemik COVID-19 yang meng-akibatkan pengurangan besar dalam jumlah penumpang.
Tampil dalam filem dan lagu, syarikat bas ikonik itu menghentikan perkhidmatan di barat Kanada pada 2018 serta menangguhkan perkhidmatan di Ontario dan Quebec tahun lalu ekoran 95 peratus penurunan jumlah penumpang sejak permulaan pandemik.
“Malangnya, sepanjang tahun tanpa pendapatan membuatkan ia mustahil untuk meneruskan operasi,” pemangku presiden Greyhound Kanada Stuart Kendrick mengulas dalam satu kenyataan.
Greyhound juga telah me-ngalami kesukaran dengan saingan yang meningkat daripada potongan harga penerbangan serta sistem kereta api dan transit awam, diikuti pembatalan kawal selia yang semakin mengancam laluan eksklusifnya.
Keputusan syarikat ter-sebut untuk menghentikan operasi memberi tamparan hebat kepada kawasan pedalaman dan terpencil Kanada yang bergantung dengan pengangkutan bas antara desa dan bandar.
Menteri Pengangkutan Omar Alghabra berkata beliau “kecewa” dengan keputusan syarikat tersebut, memandangkan “ramai penduduk Kanada bergantung dengan perkhidmatan ini.”
Kerajaan akan “mencari alternatif bagi menangani jurang ini” dalam pengangkutan, tambahnya.
— AFP