GRS umum Ketua Menteri Sabah baharu beberapa jam lagi – Hajiji Noor

GRS umum Ketua Menteri Sabah baharu beberapa jam lagi – Hajiji Noor

KOTA KINABALU,. Ketua Menteri Sabah yang baharu akan diumumkan beberapa jam lagi, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Tanpa memberikan waktu spesifik, beliau membayangkan pengumuman itu akan dibuat pada sebelah pagi, sebelum calon berkenaan mengangkat sumpah di Istana Negeri di sini.

Ditanya sama ada Ketua Menteri akan dipilih daripada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PN atau Barisan Nasional beliau berkata : “Biarlah ia menjadi teka teki.”

Hajiji berkata demikian dalam sidang media kira-kira dua jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri DUN Sabah yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sebanyak 38 kerusi.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan GRS termasuk Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengadakan mesyuarat secara tertutup.

Mesyuarat sama turut diadakan secara berasingan oleh pimpinan BN.

Hajiji, yang mempertahan kerusi DUN Sulaman, sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon Ketua Menteri selain Pengerusi BN Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Ditanya sama ada keputusan memilih ketua menteri yang akan diumumkan itu telah dibincang oleh keseluruhan pimpinan GRS, beliau hanya berkata: “Kita masih tunggu kerana banyak wakil rakyat kita dari jauh, dari pedalaman. Kita tunggu dan akan buat satu pengumuman bersama mereka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )