
Guatemala gesa keadilan untuk 16 rakyatnya dibunuh di Mexico
BANDAR GUATEMALA: Presiden Guatemala Alejandro Giammattei kelmarin menggesa keadilan untuk 16 pendatang yang dibunuh dengan kejam di Mexico pada Januari lepas, ketika ketibaan mayat mereka di tanah air disambut dengan penuh penghormatan.
Pada 22 Januari, 19 mayat rentung ditemui di Tamau-lipas, sebuah negeri di sempadan dengan Amerika Syarikat yang telah digegarkan selama beberapa tahun oleh kumpulan jenayah terancang.
Seramai 16 orang yang terkorban telah disahkan sebagai rakyat Guatemala dan tiga lagi berasal dari Mexico. Mayat tersebut ditemui di sebatang jalan raya desa di dalam sebuah trak yang penuh dengan kesan 113 das tembakan dan kemudian dibakar, menurut penyiasat.
“Kami tidak akan berhenti sehingga kami mendapatkan pembalasan, perbicaraan dan hukuman terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk tindakan keji tersebut,” tegas Giammattei ketika keranda tersebut tiba di pang-kalan Tentera Udara Guatemala di ibu negara.
Kerajaan Mexico telah menawarkan untuk menanggung kos bagi penghantaran pulang mayat tersebut.
Mayat tersebut tiba di dalam keranda ditutupi dengan bendera biru putih Guatemala. Pegawai Kementerian Luar Negara yang berpakaian serba hitam membawa gambar mangsa ketika anggota keluarga mereka menangis teresak-esak.
Kebanyakan mangsa ter-sebut berasal dari pekan Comitancillo, sebuah komuniti asli terpencil berhampiran sempadan dengan Mexico. Mayat itu kemudian dibawa ke kampung mereka bagi pengebumian.
Pejabat pendakwa raya negara Mexico menyatakan 12 anggota polis elit telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan.
Tamaulipas, di pantai Teluk Mexico, merupakan laluan paling singkat ke Amerika Syarikat dari sekatan, namun juga yang paling berbahaya kerana kehadiran kumpulan penjenayah yang menculik, memeras ugut dan membunuh pendatang.
Camargo, pekan di mana mangsa telah ditemui, adalah tempat kejadian perbalahan antara kartel Noreste, yang mengawal sebahagian Nuevo Leon, dan kartel Gulf, yang bergiat aktif di Tamaulipas selama beberapa dekad.
Giammattei turut mempunyai satu mesej kepada penyeludup manusia: “Kami sedang bekerjasama dengan negara di wilayah dan pasukan keselamatan Guatemala bagi mengesan, memburu dan menghapuskan semua kumpulan penjenayah ter-sebut yang telah mengambil kesempatan terhadap ke-perluan rakyat kita.”
Migrasi dari Amerika Tengah telah meningkat sejak 2018 ketika gelombang penduduk yang ingin meninggalkan kemiskinan dan keganasan di negara asal mereka, berharap akan membina kehidupan baharu di Amerika Syarikat.
Lebih separuh daripada 17 juta penduduk Guatemala hidup dalam kemiskinan.
— AFP