Hab umrah: Malaysia perlu perbanyak penerbangan terus ke Jeddah

Hab umrah: Malaysia perlu perbanyak penerbangan terus ke Jeddah

KUALA LUMPUR,. Malaysia perlu membanyakkan lagi penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah dalam usaha menyokong sasaran untuk negara menjadi hab umrah yang menghimpunkan jemaah dari seluruh dunia, khususnya di rantau Asia.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) Datuk Razali Idris berkata langkah itu amat perlu memandangkan ketika ini, jumlah penerbangan terus ke Jeddah oleh syarikat penerbangan sedia ada adakalanya tidak mencukupi walaupun untuk penduduk tempatan.

“Sebab itu penerbangan terus ke Jeddah atau penerbangan transit ke negara-negara Timur Tengah perlu diperbanyak bagi menggalakkan kedatangan jemaah umrah dari negara-negara serantau,” katanya kepada Bernama.

Razali berkata ketika ini, hanya terdapat beberapa syarikat penerbangan yang mempunyai perkhidmatan berkenaan antaranya Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air.

Bagaimanapun, beliau berkata tiket penerbangan yang ditawarkan adalah kurang berbanding permintaan, memandangkan beliau mendakwa wujudnya “kartel umrah” yang didakwa membolot tiket penerbangan membabitkan pakej umrah dan haji di negara ini.

Katanya, ini berlaku apabila sebahagian besar jumlah tiket yang ditawarkan syarikat penerbangan dibolot beberapa syarikat besar atau pihak ketiga sehingga menyebabkan kenaikan harga tiket yang melambung tinggi.

“Suku pertama tahun ini sahaja sebanyak 400,000 visa umrah dikeluarkan. Jumlah mereka yang ingin mengerjakan umrah amat tinggi sebab tertangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sebelum ini,” katanya.

Baru-baru ini Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kementeriannya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab umrah, dengan mempromosikan program itu ke negara tumpuan seperti China, Korea, Jepun, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Tiong berkata objektif program itu bukan sahaja demi memberi manfaat dari sudut pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga bertujuan mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang membangun dan berdaya saing selaras konsep Malaysia MADANI.

Razali turut melahirkan keyakinan cadangan berkenaan yang akan diterajui Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan, mampu direalisasikan dengan baik menerusi libat urus dengan pemain industri bagi mendapatkan pelbagai input dan cadangan bernas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )