Hadi Awang menghadap Sultan Nazrin

IPOH,. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta di sini.

Kereta yang membawa Ahli Parlimen Marang itu tiba pada pukul 10.50 pagi.

Abdul Hadi diterima menghadap Sultan Nazrin selepas beliau mengutus warkah pada 10 Dis lepas memohon perkenan untuk menghadap baginda bagi menyembah maklum suasana politik yang melibatkan PAS.

Pada Jumaat (11 Dis), Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan pada 8 Dis lepas.

Selain Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat PAS Perak terlibat ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, Razman dan Mohd Akmal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, ketika istiadat angkat sumpah jawatan Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 10 Dis lepas, tiada ADUN daripada PAS dalam senarai awal yang dilantik sebagai Exco, sebaliknya hanya melibatkan empat ADUN UMNO dan seorang daripada Bersatu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )