Hak kerakyatan: Family Frontiers fail rayuan, kerajaan tak bentang pindaan

Hak kerakyatan: Family Frontiers fail rayuan, kerajaan tak bentang pindaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

Presidennya, Suriani Kempe berkata notis rayuan difailkan dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan.

Jelas beliau lagi, Family Frontiers berpendirian untuk meneruskan rayuan tersebut selepas melihat komitmen kerajaan yang masih belum mahu membentangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hak kewarganegaraan diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berwarganegara Malaysia.

“Ia dibuat selepas beberapa siri pertemuan yang kami ada bersama dengan pelbagai wakil kerajaan. Bagaimanapun, kami telah menerima berita bahawa kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam masa terdekat dan tiada garis masa diberikan kepada kami.

“Dalam hal itu, sementara proses ini berterusan sudah tentu ibu dan anak-anak terjejas, dan kerana itu kami berasa terdorong untuk meneruskan keputusan kami dan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini pada Sabtu.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Kamaludin Md Said, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menafikan kerakyatan kepada anak kelahiran di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berbapakan warga asing.

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim, Kamaluddin dan Datuk Azizah Nawawi, manakala Datuk S Nantha Balan pula menentang.

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

sumber – Hasimi Muhamad

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )