Hakim Mahkamah Persekutuan dahului senarai penerima pingat kebesaran Hari Wilayah 2020

PUTRAJAYA,. Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mohd Zawawi Salleh mendahului senarai 188 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020, pada Sabtu.

Mohd Zawawi, yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 April 2018, dikurniakan Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut dianugerahkan SMW dengan gelaran Datuk Seri itu ialah Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mazlan Yusoff.

Hasnol dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkuat kuasa hari ini. Sebelum pelantikan terkini itu, beliau merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan itu oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berlangsung buat pertama kalinya di Istana Melawati, di sini.

Kebiasaannya, istiadat berkenaan berlangsung di Istana Negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Wilayah Persekutuan, seramai 25 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada tahun ini.

Antara penerima PMW itu ialah Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus, Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla R R Suppiah serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Menurut kenyataan itu, turut dianugerahkan PMW ialah Presiden Seniman Paksi Rakyat Che Samsudin Othman atas sumbangan beliau yang masih aktif menulis dan mengarah teater.

Seramai 39 individu pula dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 27 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) , 36 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 58 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Atlet bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen dianugerahkan KMW manakala atlet karate negara S. Prem Kumar dianugerahkan PPW.

Mohd Syarul, atlet kelahiran Kuala Lumpur, mencatat sejarah apabila meraih gelaran Mr Asia dan Mr Universe, masing-masing secara lima dan empat kali berturut-turut.

S. Prem Kumar pula menyumbang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan pingat emas pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur dianugerahkan pingat PPW.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )