Hakimah junjung titah Sultan Selangor

Hakimah junjung titah Sultan Selangor

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa agensi itu tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Hakimah berkata beliau selaku Setiausaha MKI mengambil maklum titah Sultan Sharafuddin sebagai Pengerusi MKI melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda pada Sabtu.

“Jakim selaku Sekretariat MKI akan sentiasa mematuhi peraturan MKI yang telah ditetapkan dan arahan dari semasa ke semasa Pengerusi MKI,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Baginda bertitah Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

Hakimah dalam kenyataannya turut merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor terhadap tatakelola pentadbiran MKI.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)