Hampir 50,000 warga Thai pulang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan

Hampir 50,000 warga Thai pulang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan

NARATHIWAT,. Hampir 50,000 warga Thai yang bekerja di Malaysia, telah pulang ke negara mereka selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di Malaysia bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Timbalan Komander Tentera Bahagian ke-4 Maj. Jen. Kriangkrai Srirak berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 100,000 warga Thai yang bekerja dan 1,100 pelajar berada di Malaysia.

“Dianggarkan kira-kira 50,000 warga Thai tidak sempat pulang. Ini kerana semua pintu masuk Thailand-Malaysia telah ditutup sepenuhnya, berkuatkuasa hari ini.

“Berikutan peningkatan kes COVID-19 di wilayah-wilayah selatan Thailand, pihak berkuasa mengambil keputusan untuk menutup sepenuhnya pintu-pintu masuk ini,” katanya.

Lapan pintu sempadan darat Thailand-Malaysia iaitu Satun (Wan Prachan), Songkhla (Ban Prakob, Sadao dan Padang Besar), Yala (Betong) dan Narathiwat (Sungai Golok, Bukohta dan Takbai) serta satu sempadan laut- Pelabuhan Dermaga Tammalang di Satun, telah tutup bermula hari ini.

Hari ini, Thailand melaporkan peningkatan terbesar dalam jangkitan akibat penularan wabak COVID-19 dengan 89 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 411.

Di Malaysia, sebanyak 153 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,183 kes. Sehingga kini, lapan kematian dilaporkan di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Anupong PAojinda berkata, gabenor di wilayah di sempadan mempunyai kuasa penuh untuk menutup wilayah masing-masing, jika situasi COVID-19 menjadi semakin buruk.

Beliau berkata, gabenor di wilayah terbabit boleh mempertimbangkan untuk menutup kesemua pintu masuk sementara dan membuka hanya pusat pemeriksaan utama, di wilayah masing-masing.

Bagaimanapun, berbeza di Chiang Rai yang terletak di utara Thailand yang bersempadanan dengan Myanmar dan Laos, dan dibenarkan untuk mengekalkan satu pusat pemeriksaan untuk setiap negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )