Hampir 70,000 peneroka Felda terima bantuan makanan asas

Hampir 70,000 peneroka Felda terima bantuan makanan asas

KUALA LUMPUR,. Hampir 70,000 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di 317 tanah rancangan telah menerima bantuan makanan asas bernilai kira-kira RM6.3 juta, kata Pengarah Besar agensi itu Datuk Dr Othman Omar.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) bagi membantu peneroka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.

Setakat ini, 90 peratus penerima bantuan PMKR adalah anak peneroka yang bekerja berdasarkan gaji harian dan tiada pendapatan semasa PKP atau mereka yang terpaksa pulang ke kampung setelah kehilangan pekerjaan di bandar, kata beliau.

“Sepuluh peratus daripada penerima adalah daripada kalangan golongan peneroka malah atas dasar perikemanusiaan, sumbangan juga diberikan kepada mereka yang memerlukan, yang bukan daripada kalangan warga Felda,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hasil sumbangan yang diperoleh daripada pelbagai pihak, termasuk komuniti FELDA dan anak peneroka yang berjaya, kerajaan negeri, badan korporat serta individu.

“Kami amat menghargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan pelbagai program bantuan COVID-19 untuk rakyat yang turut memanfaatkan golongan peneroka serta komuniti Felda secara keseluruhan,” kata Othman.

Antara sumbangan bekalan makanan yang diberikan ialah keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, sardin dalam tin, kicap, telur ayam, minyak masak, teh dan kopi.

“Bantuan makanan ini adalah satu tanggungjawab utama Felda untuk meringankan beban warga peneroka dan keluarga mereka,” kata beliau yang akan turut memastikan bantuan bekalan asas dalam kalangan warga Felda tidak terputus dan dikendalikan sebaik mungkin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )