Hanya pemain 16 tahun ke atas ditempatkan di ABM bermula tahun depan

Hanya pemain 16 tahun ke atas ditempatkan di ABM bermula tahun depan

KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk desentralisasi program pembangunan remaja, justeru hanya pemain berusia 16 tahun ke atas yang akan ditempatkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara bagi pengambilan 2024.

Menurut kenyataan BAM, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Remaja yang bermesyuarat semalam dipengerusikan oleh Datuk V. Subramaniam selepas menerima input daripada Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih remaja ABM, Jeffer Rosobin.

Bagaimanapun, kumpulan pemain berusia 14 hingga 15 tahun ketika ini akan kekal di ABM.

Sebelum ini, pemain remaja kebangsaan berusia 13 tahun dan ke atas ditempatkan di ABM untuk menerima latihan badminton dan pendidikan di bawah satu bumbung.

BAM memaklumkan, ABM akan memberikan sokongan tambahan kepada pemain bawah 16 tahun yang menunjukkan potensi cemerlang dalam bentuk elaun bulanan dan bantuan kewangan bagi penyertaan kejohanan dan dijemput menyertai latihan di ABM semasa cuti sekolah.

Subramaniam yang juga Timbalan Presiden BAM percaya langkah membenarkan pemain berusia bawah 15 tahun tinggal dengan keluarga adalah penting dalam membangunkan kemantangan, mental dan kesejahteraan emosi pemain.

“Jadi, mereka akan dapat menumpukan perhatian dengan lebih baik kepada latihan. Data sejarah juga menunjukkan pemain yang menyertai pasukan kebangsaan pada umur 16 tahun tidak berdepan kesukaran berbanding mereka yang menyertai pada usia lebih muda,” katanya.

Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang memuji keputusan itu berkata langkah berkenaan sejajar dengan matlamat BAM untuk desentralisasi pembangunan badminton dan melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan.

“Ia memberi peluang kepada persatuan negeri, jurulatih dan ibu bapa di peringkat akar umbi untuk bekerja lebih lama dengan pemain muda hingga umur 15 tahun sebelum mereka yang terpilih diserap ke ABM. Ini akan meluaskan bilangan pemain yang menjalani latihan sistematik dan menjadi petanda baik buat masa depan,” katanya.

Pasukan petugas khas itu juga bersetuju mengadakan lebih banyak kejohanan remaja peringkat kebangsaan, manakala sesi pencarian bakat bagi 2024 dijadualkan bermula 15 hingga 21 Dis ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)