#HanyaKeranamu: Kempen zahirkan penghargaan buat barisan hadapan penghantaran makanan

#HanyaKeranamu: Kempen zahirkan penghargaan buat barisan hadapan penghantaran makanan

KUALA LUMPUR, 24 April — Foodpanda, perkhidmatan penghantaran dalam talian popular, dengan kerjasama Dentsu Aegis Network (DAN) melancarkan #HanyaKeranamu, kempen tanggungjawab sosial korporat diterajui kandungan dijanakan pengguna yang bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Pemasaran Foodpanda, Fabian Emanuel berkata kempen itu meraih sokongan rakyat Malaysia untuk memberikan penghargaan kepada barisan hadapan penghantaran makanan di seluruh negara menerusi tanda pagar #HanyaKeranamu.

“Rakyat Malaysia boleh berkongsi mesej positif mereka, kata-kata semangat dan penghargaan kepada barisan hadapan penghantaran makanan menerusi laman Facebook, Twitter dan Instagram masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua mesej yang dihimpunkan menerusi tanda pagar itu akan dikongsikan dengan petugas barisan hadapan melalui papan iklan digital dinamik setiap hari, ketika warga Malaysia mengamalkan penjarakan sosial.

#HanyaKeranamu merapatkan jurang itu dengan mewujudkan hubungan di antara pelanggan dan barisan hadapan penghantaran makanan, katanya.

Foodpanda mahu menonjolkan wira dalam industri makanan, yang bekerja di balik tabir untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai makanan.

“Inilah cara lebih baik untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka, menerusi penyediaan platform untuk semua rakyat Malaysia memberi penghargaan kepada barisan hadapan penghantaran makanan kami.

“Apabila pelanggan membuat tempahan, mereka bukan sahaja mempunyai makanan untuk mereka sendiri malah memberi pendapatan untuk petani dan nelayan, pemandu lori yang menghantar hasil segar ke restoran, chef yang menyediakan hidangan serta penghantar makanan yang menghantar pesanan sehingga ke pintu rumah anda,” katanya.

Video digital 60 saat yang memaparkan penghargaan kepada wira penghantaran makanan yang amat prihatin terhadap keperluan orang lain dan bekerja keras semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu boleh ditonton menerusi laman Youtube Foodpanda.

Iklan televisyen pula disiarkan oleh Media Prima, Astro dan RTM selain menerusi berita, gaya hidup serta platform penstriman atas permintaan sehingga akhir April 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )