Haqimi penggempur utama Harimau Malaya

Haqimi penggempur utama Harimau Malaya

SEPANg,. Penyerang muda Muhammad Haqimi Azim Rosli sedia menggalas tugas ekoran ketiadaan beberapa penggempur utama skuad Harimau Malaya akibat kecederaan apabila berdepan Kyrgyzstan dalam aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis ini.

Penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC itu berkata ketiadaan Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Romel Morales membuka peluang buat dirinya serta penyerang lain yang dipanggil pengendali skuad Kim Pan Gon untuk mempamerkan sentuhan pemusnah pada baki saingan berkenaan.

“Kita ada ramai pemain yang boleh bermain untuk jersi nombor sembilan (penyerang utama) termasuk Paulo Josue. Namun kalau diberikan peluang saya pasti akan buat yang terbaik.

“Saya juga mahu buktikan 100 peratus di atas padang bahawa saya boleh bermain untuk jersi itu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu mahu terus membalas kepercayaan diberikan selepas aksi cukup positif bersama Pan Gon buat pertama kali dalam saingan Piala AFF 2022 apabila beliau meledak gol sulung sewaktu menentang Laos selain mencipta bantuan jaringan.

Selepas menentang Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, Malaysia yang berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata akan bertemu Taiwan pada aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun.

Kyrgyzstan kini menerajui saingan Kumpulan D diikuti Oman di tempat kedua, dengan masing-masing mengumpul sembilan mata.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Jun sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Pasukan negara memerlukan tiga mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir sambil mengharapkan Oman menumpaskan Kyrgyzstan untuk mencerahkan peluang mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, serta melayakkan diri lebih awal ke Piala Asia 2027.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)