
Harga eksport Malaysia susut 0.7 peratus pada Nov 2022
KUALA LUMPUR,. Harga eksport Malaysia pada November 2022 susut 0.7 peratus kepada 148.7 mata daripada 149.7 mata pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menerusi kenyataan mengenai Indeks Perdagangan Luar Negara Malaysia November 2022 pada Rabu, jabatan itu menjelaskan selaras dengan prestasi eksport, indeks nilai seunit import turut mencatatkan penurunan marginal 0.01 peratus kepada 133.2 mata.
DOSM menambah terma perdagangan Malaysia terus menunjukkan prestasi negatif dengan penurunan 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 111.6 mata pada November 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport mengalami kejatuhan 0.7 peratus pada November 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-6.8 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (-1.5 peratus) dan minyak galian (-0.6 peratus).
Indeks volum eksport turut merosot 0.4 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan kejatuhan indeks minyak galian (-23.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-3.1 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat 8.8 peratus daripada 153.3 mata kepada 166.8 mata. Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 13.9 peratus dan 1.5 peratus,” katanya.
Indeks nilai seunit import pula turun secara marginal 0.01 peratus pada November 2022 berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh penurunan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-1.3 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-0.2 peratus).
Menurut DOSM, indeks volum import turut merosot 4.9 peratus pada bulan yang sama berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-28.7 peratus), makanan (-2.1 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (-1.5 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim mengalami kemerosotan 5.2 peratus daripada 189.6 mata kepada 179.7 mata.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 9.2 peratus dan 5.8 peratus,” tambahnya.
Mengenai terma perdagangan Malaysia yang menunjukkan prestasi negatif, DOSM menjelaskan ia disebabkan kemorosotan indeks minyak serta lemak binatang dan sayur-sayuran (-6.5 peratus), minyak galian (-3.2 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.9 peratus).
“Terma perdagangan Malaysia kekal positif dengan kenaikan 4.3 peratus tahun ke tahun daripada 107.0 mata pada November tahun lepas,” tambahnya.
— Bernama