Harga ikan kembung ‘melambung’ akibat kekurangan bekalan

Harga ikan kembung ‘melambung’ akibat kekurangan bekalan

KEPALA BATAS: Kekurangan bekalan ikan kembung di Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang menyebabkan harga ikan tersebut turut ‘melambung’.

Tinjauan di lokasi yang popular dengan jualan ikan cara berbisik itu mendapati harga ikan kembung meningkat sebanyak RM3 hingga RM4 sekilogram.

Peniaga, Mohd Noor Ibrahim, 63, berkata sebelum ini pengunjung boleh membeli ikan kembung pada harga antara RM4 atau RM5 sekilogram tetapi harga ikan tersebut meningkat sejak beberapa hari lalu susulan kekurangan bekalan.

“Kelmarin, harga belian ikan kembung sudah RM8 sekilogram berbanding hanya RM4 hingga RM5 sekilogram sebelum ini walaupun saiz agak kecil.

“Namun, harga ikan berkenaan di pasar jauh lebih tinggi iaitu melebihi RM12 sekilogram. Semuanya bergantung pada bekalan,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mohd Noor, kehadiran pengunjung ke Kuala Muda turut bergantung pada harga ikan kembung. Selalunya, kehadiran akan meningkat jika harga ikan tersebut merudum kepada RM2 sekilogram seperti tahun lalu.

“Walaupun harga ikan kembung naik tapi saya cuba jual ikan lain pada harga lebih rendah berbanding di pasar.

“Misalnya, ikan tongkol putih saya jual RM16 sekilogram berbanding di pasar RM27 sekilogram manakala bawal RM30 sekilogram,” katanya.

Pengunjung, Noraini Hanafiah, 53, berkata dia agak terkilan apabila membeli tiga ekor ikan nyok-nyok pada harga RM60 sekilogram.

Selain itu ujarnya, harga udang juga mengejutkan apabila mencecah hampir RM200 walaupun tidak sampai dua kilogram.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghappar gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.

-Astro Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)