Harga jagung bijian, makanan berasaskan kacang soya meningkat sejak Januari

Harga jagung bijian, makanan berasaskan kacang soya meningkat sejak Januari

KUALA LUMPUR: Dua komoditi utama yang merupakan makanan utama ayam iaitu jagung bijian dan makanan berasaskan kacang soya masing-masing meningkat sebanyak 13 dan 11 peratus sejak Januari lepas.

Peningkatan harga makanan utama ayam itu antara faktor menyebabkan kenaikan harga kos pengeluaran ayam di ladang secara berterusan sehingga harga ayam di negara ini kembali meningkat.

Perkara itu antara dibincangkan pada mesyuarat berkenaan isu kenaikan kos pengeluaran ayam dan telur oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Mesyuarat yang diadakan secara hibrid itu dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar, pegawai kanan serta pengurusan tertinggi MAFI, KPDNHEP, MEDAC, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia, Agrobank dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MAFI hari ini, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan oleh MAFI dan KPDNHEP pada mesyuarat itu antaranya berkenaan kenaikan kos pengeluaran ayam di ladang, peningkatan harga jagung dan senario pematuhan harga maksimum ayam serta telur ayam.

Kenyataan itu memaklumkan, kerajaan melalui MAFI sedang giat melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur melibatkan RM528.52 juta bagi tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Usaha itu bagi meringankan beban 2,255 orang penternak seluruh negara, susulan peningkatan kos terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

Menurut kenyataan itu, MAFI akan terus mempercepat pemberian subsidi sedia ada supaya penternak mendapat manfaat segera sekali gus mengelakkan tekanan dalam industri penternakan serta memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan.

“Mesyuarat juga mengambil maklum walaupun pemberian subsidi mula dinikmati oleh penternak, kos pengeluaran terus meningkat.

“Perkara-perkara serta cadangan intervensi tambahan yang dibincangkan dan dikenal pasti dalam mesyuarat ini akan di bawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Tindakan proaktif akan terus dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)