Harga minyak meningkat dalam dagangan awal

Harga minyak meningkat dalam dagangan awal

SINGAPURA,. Minyak terus meningkat pagi ini selepas pemulihan besar semalaman, namun harganya kekal di bawah tekanan dengan COVID-19 menjejaskan permintaan dan kemudahan simpanan penuh.

Penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) menokok 3.5 peratus pada AS$14.27 satu tong manakala penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent meningkat 2.60 peratus pada AS$20.90 satu tong dalam dagangan awal Asia.

Pasaran secara relatifnya tenang berbanding sesi turun naik awal minggu ini, yang menyaksikan minyak mentah jatuh ke wilayah negatif buat kali pertama.

Pasaran minyak menjunam beberapa minggu kebelakangan ini apabila perintah berkurung dan sekatan perjalanan untuk memerangi coronavirus di seluruh dunia menjejaskan permintaan, manakala kemudahan simpanan berdepan bekalan berlebihan.

WTI bagi penghantaran Jun meningkat 19 peratus semalam selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk menembak bot Iran di perairan penting penghantaran minyak mentah selepas Washington menuduh musuh ketatnya itu mengganggu kapalnya di Teluk.

Teluk adalah pintu gerbang utama minyak untuk memasuki pasaran antarabangsa dan ketegangan antara AS serta Iran sebelum ini menyaksikan harga minyak mentah melonjak.

-AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)