Harga minyak, saham AS pacu Bursa Malaysia dibuka tinggi

Harga minyak, saham AS pacu Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Pemulihan harga minyak serta peningkatan semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS) membantu memacu sentimen di pasaran domestik pagi ini yang menyaksikan indeks petunjuk utama naik 0.88 peratus dalam dagangan awal hari ini.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 10.76 mata kepada 1,230.48 berbanding 1,219.72 sewaktu ditutup semalam selepas dibuka 0.82 mata lebih tinggi kepada 1,220.54 pagi ini.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 214 berbanding 80 manakala 132 lain tidak berubah, 1,592 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 206.39 juta saham bernilai RM68.38 juta.

Seorang peniaga berkata harga minyak yang naik melebihi 10 peratus semalam dengan minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, menokok 5.1 peratus kepada AS$26.16 setong manakala US Crude naik 12.9 peratus pada AS$23 setong selepas Presiden Donald Trump berkata beliau akan terlibat dalam perang harga global antara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu-sekutunya ‘pada masa sesuai.’

Sementara itu, Wall Street turut meningkat semalam apabila sentimen pasaran lebih positif susulan tindakan bank pusat dan kerajaan berikrar memberi sokongan terhadap langkah-langkah untuk melindungi ekonomi mereka daripada impak wabak COVID-19 yang meragut lebih 8,000 nyawa di seluruh dunia.

Berikutan itu, Purata Industri Dow Jones naik satu peratus kepada 20,081.19, S & P 500 menambah 0.5 peratus untuk ditutup kepada 2,409.39 manakala Indeks Komposit Nasdaq meningkat 2.3 peratus dengan mengakhiri sesi dagangan pada paras 7,150.58.

“Di peringkat tempatan, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam lingkungan 1,200 hingga 1,280 hari ini manakala paras rintangan pada 1,211 hingga 1,130,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung tujuh sen kepada RM7.15, Tenaga susut dua sen kepada RM11.30, Public Bank naik 36 sen kepada RM13.02 dan IHH menokok empat sen kepada RM5.19.

Bagi saham aktif, Vortex tidak berubah pada 2.5 sen, Bumi Armada naik 1.5 sen kepada 13 sen dan Alam Maritim untung setengah sen kepada 3.5 sen.

Indeks FBM Emas pula menambah 60.72 mata kepada 8,318.50, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 31.88 mata kepada 9,152.37 dan FBM 70 meningkat 67.19 mata kepada 9,261.45.

Selain itu, Indeks FBMT 100 naik 69.84 mata kepada 8,284.47 dan FBM Ace meningkat 44.74 mata kepada 3,244.47.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.77 mata kepada 93.29, Indeks Perladangan menokok 16.29 mata kepada 5,548.32 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 168.88 mata kepada 11,054.33.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )