Harga petrol RON97 turun 3 sen, RON95 dan diesel tak berubah

KUALA LUMPUR,. Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 3 sen daripada RM3.05 kepada RM3.02 seliter bermula esok hingga 8 Dis ini, menurut Kementerian Kewangan hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan bagaimanapun memaklumkan, harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel tidak berubah masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh itu.

Kenyataan itu memberitahu bahawa harga tersebut berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan sebenar harga minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga siling petrol RON95 pada RM2.05 seliter dan diesel sebanyak RM2.15 seliter walaupun harga pasaran APM untuk RON95 dan diesel meningkat melebihi paras harga siling ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menjelaskan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )