Hari Malaysia: Busana era 50-an, 60-an hidupkan nostalgia pembentukan Malaysia

Hari Malaysia: Busana era 50-an, 60-an hidupkan nostalgia pembentukan Malaysia

MELAKA,. Tema busana era 50-an dan 60-an dipilih bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini, 16 Sept ini untuk menghidupkan suasana dan mengembalikan nostalgia ketika seluruh rakyat bersama-sama menyambut pembentukan Malaysia.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata ia antara keunikan dan pertama kali diperkenalkan dalam sambutan Hari Malaysia, sekali gus bakal memeriahkan sambutan yang dijangka dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung.

“Saya dapat rasakan ia (sambutan) akan lebih meriah berbanding sambutan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Shahrom Ravin Daram berkata selain itu, beca yang sinonim dengan Melaka juga akan ditonjolkan pada sambutan tersebut.

“Tetamu jemputan utama dan dif-dif kehormat akan menaiki beca untuk ke khemah utama diiringi motosikal antik Vespa, basikal tua serta persembahan pancaragam yang akan mengalunkan lagu-lagu era 50-an ke 60-an.

“Paparan sepanduk bertulisan jawi dan Rumi ejaan lama akan membangkitkan lagi suasana silam pada sambutan Hari Malaysia 2022 kali ini,” katanya.

Justeru, beliau mengajak rakyat khususnya yang tinggal di Melaka dan kawasan berdekatan untuk hadir beramai-ramai dengan memakai busana era 50-an dan 60-an bagi memeriahkan sambutan yang akan bermula pada 8 malam.

Selain busana, beliau berkata sambutan juga akan diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Ernie Zakri, Jimmy Palikat, Anding, Iwere, Kenny Lee dan Radhi P.Ramlee.

Menurutnya pelbagai persembahan turut diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat kebersamaan rakyat Malaysia yang baru menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lepas.

Ia antaranya Bacaan Ikrar Rukun Negara, persembahan pembukaan Catatan Malaysia, Upacara Menandatangani Buku Watikah Pengisytiharan dan Persembahan Khas “Dari Robohan Kota Melaka, Kita Dirikan Negara Merdeka” yang dipecahkan kepada empat segmen.

“Persembahan ini akan ditampilkan dalam bentuk persembahan gerak, visual dan narator yang mengimbau kepada sejarah pembentukan Malaysia termasuk monolog, bacaan puisi, pentomin dan infografik,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan JaPen Melaka untuk sambutan itu, Shahrom Ravin Daram berkata sebanyak 610 gegantung dan 22 papan iklan statik telah dipasang di negeri berkenaan sejak sambutan Bulan Kebangsaan bermula 1 Ogos lepas.

Beliau berkata pihaknya menerusi Pejabat Penerangan Daerah juga menggerakkan jentera Info on Wheels (IoW) bagi membuat hebahan kepada masyarakat dan hebahan dikerapkan apabila semakin hampir dengan hari sambutan.

“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Penyiaran, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Jabatan Ketua Menteri Melaka bagi menguar-uarkan sambutan dengan berkongsi hebahan di platform media sosial masing-masing.

“Selain itu, maklumat berkaitan sambutan juga turut dikongsi melalui aplikasi kumpulan WhatsApp dengan 84 Komuniti Keluarga Malaysia yang terdapat di negeri ini dalam usaha menyemarakkan lagi Hari Malaysia 2022 di Melaka,” katanya.

Beliau berkata bagi menjadikan sambutan kali ini sohor, orang ramai digalakkan untuk berkongsi tanda pagar bagi semua aktiviti kenegaraan menerusi platform media sosial masing-masing iaitu #KeluargaMalaysiaTeguhBersama, #KeluargaMalaysia, #TeguhBersama, #HKHM2022, #Merdeka360 dan #KKOMM.

Katanya orang ramai juga boleh melayari laman web www.merdeka360.my yang merupakan hab kepada informasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )