Harimau Malaya dituntut benam Vietnam pada Piala AFF

Harimau Malaya dituntut benam Vietnam pada Piala AFF

KUALA LUMPUR,. Selepas dikecewakan di pentas final pada edisi lepas, skuad Harimau Malaya dituntut untuk ‘membalas dendam’ ke atas Vietnam pada kempen Piala AFF kali ini, yang bakal membuka tirai pada Ahad ini hingga 1 Januari depan di Singapura.

Setelah memberikan suntikan semangat semasa bersarapan bersama pasukan kebangsaan pagi ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan bahawa pentas Asia Tenggara sepatutnya tidak menjadi masalah buat skuad kebangsaan.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat.

“Apabila anda sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain beri segalanya terbaik yang mereka ada dan kekal fokus sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka kempen menentang Kemboja pada Isnin ini (6 Dis), diikuti Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis) dalam misi mencapai sasaran mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan ke atas Vietnam adalah kejayaan 4-2 pada separuh akhir kedua Piala AFF 2014, manakala enam pertemuan seterusnya dalam pelbagai kejohanan menyaksikan skuad Naga Emas itu menang lima kali dan seri sekali.

Paling memeritkan ketika Malaysia terlepas kejuaraan Piala AFF 2018, apabila tewas tipis menerusi keputusan agregat 2-3, selepas terikat 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada final pertama dan kalah 0-1 pada final kedua di Hanoi.

Hamidin menganggap skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang berlepas ke Singapura tengah hari ini, adalah barisan terbaik dengan gabungan pemain muda, berpengalaman dan warisan untuk menggalas tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama Malaysia di saingan itu.

“Kita ada pemain muda seperti Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi; pemain pada usia pertengahan seperti Safawi Rasid, pemain senior berpengalaman seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat, serta pemain warisan seperti Dion Cools, Junior Eldstal dan Quentin Cheng.

“Turut dibarisi pemain naturalisasi, Guilherme de Paula, sudah pasti 20 pemain berlepas dari Kuala Lumpur ini serta empat pemain dari luar negara yang akan menyertai pasukan di Singapura nanti – Junior, Dominic Tan, Luqman Hakim dan Dion Cools – saya kira sudah bersedia untuk pikul tanggunggjawab membawa nama Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidin menyeru rakyat Malaysia mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya, selepas bersama-sama bersorak dan menyokong pasukan itu pada Piala AFF 2018, yang ternyata menjadi pembakar semangat sehingga mendorong barisan pemain negara berjaya muncul naib juara edisi tersebut.

“Kali ini, tidak mustahil untuk kita mengulangi kejayaan mara ke final dan menjulang piala biarpun saya sedar kekangan akibat COVID-19 ini menyukarkan kita semua untuk hadir ke Singapura. Tapi sama-sama kita di tanah air mendoakan kejayaan pasukan dan terus memberi sokongan padu biarpun dari jauh,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)