Hasilkan dadah daripada cendawan pada najis lembu untuk tujuan hiburan

Hasilkan dadah daripada cendawan pada najis lembu untuk tujuan hiburan

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kegiatan menghasilkan dadah dengan cara kotor dan jijik seperti daripada cendawan yang tumbuh pada najis lembu untuk digunakan bagi tujuan hiburan.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata dadah jenis tersebut kebanyakan dalam bentuk cecair sering digunakan dengan dicampurkan ke dalam minuman sewaktu penganjuran parti liar dan di pusat hiburan.

“Najis lembu akan mengeluarkan cendawan dan akan diproses…dadah jenis ini akan membuat mereka yang mengambilnya berhalusinasi.

“Mereka yang mengambil dadah jenis ini akan positif ujian air kencing,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, malam tadi.

Zainudin berkata walaupun penggunaan dadah tersebut masih sedikit dan kurang popular di pasaran tempatan namun pihaknya sentiasa berwaspada dengan permintaan dadah masa kini.

Jelasnya lagi, permintaan terhadap dadah jenis ganja, syabu dan heroin masih mendapat permintaan tinggi.

Sementara itu, mengulas mengenai trend baharu pengedaran dadah ketika negara dilanda pandemik COVID-19, Zainudin berkata sindiket kini semakin aktif menggunakan perkhidmatan e-hailing, kurier dan e-dagang untuk meneruskan aktiviti mereka.

Menurutnya, sejak 18 Mac tahun lepas sehingga semalam, pihaknya telah membuat 156 tangkapan yang melibatkan penghantar dan penerima iaitu e-hailing (40 tangkapan), kurier (100) dan e-dagang (16).

“Kita bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan kurier dan mereka akan melaporkan jika terdapat maklumat pada barangan yang mencurigakan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)