Hasrat ibu tunggal miliki rumah sendiri tercapai

Hasrat ibu tunggal miliki rumah sendiri tercapai

ALOR GAJAH,. Hasrat ibu tunggal asnaf, Rohani Karim untuk memiliki kediaman sendiri pada usia menginjak senja, tercapai apabila menerima rumah di bawah Projek Perumahan ‘Better Bright Home’ @ Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini pada Ahad.

Rohani, 60, berkata sebelum ini dia pernah mempunyai rumah sendiri dan tinggal bersama lima anak di Taman Seri Redan di sini, tetapi terpaksa keluar daripada rumah yang didiami sejak 30 tahun itu selepas ia dilelong kerana tidak mampu membayar pinjaman bank.

“Ketika itu anak sulung yang bertanggungjawab membayar ansuran bulanan rumah tidak dapat bekerja selama setahun atas faktor kesihatan, jadi bayaran kepada pihak bank tertunggak sebelum dilelong

“Hingga hari saya rasa sedih apabila terkenangkan rumah itu tetapi apakan daya…sejak itu selama enam tahun kami terpaksa menyewa sekitar kawasan ini dan pernah dihalau tuan rumah sebab tidak mampu bayar sewa,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunci rumah berkenaan yang dibina di Kampung Lubok Redan di sini.

Majlis penyerahan kunci rumah tiga bilik bernilai lebih RM65,000 itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengurus Besar TNB Melaka Khairizam Ibrahim.

Rohani yang merupakan anak jati kampung berkenaan berkata menerima rumah baharu menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi, sedikit sebanyak memberi kelegaan serta sinar harapan untuk dia hidup lebih selesa.

Dia kini tinggal sendirian kerana lima anaknya berusia 19 hingga 37 tahun telah berkahwin dan ada yang sedang menjalani latihan ketenteraan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira kerana dapat rumah ini yang akan menjadi tempat saya berteduh dan semoga hari raya nanti anak-anak dapat berkumpul bersama.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama Ketua Menteri Melaka dan TNB kerana merealisasikan impian saya memiliki rumah sendiri,” katanya yang turut menerima bantuan makanan secara bulanan daripada Zakat Melaka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)