Henti bergeser sesama sendiri, ia tidak untungkan sesiapa – Dr Wan Azizah

Henti bergeser sesama sendiri, ia tidak untungkan sesiapa – Dr Wan Azizah

MELAKA,. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu anggota PKR berhenti daripada bergolak dan bergeseran sesama sendiri kerana ia tidak menguntungkan sesiapa, bahkan membawa kehancuran.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata sebaliknya anggota parti perlu mencari titik pertemuan untuk berlabuh dan merancang agenda besar membela rakyat.

“Kita tidak boleh selamanya hidup dalam konflik dan pergolakan, kapal yang berlayar sehebat mana pun kalau berterusan dibadai ombak tanpa usaha untuk berlabuh di pengkalan, pasti akan musnah jua akhirnya,” katanya semasa berucap menyempurnakan penutupan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Mengimbas kembali sejarah parti dan pergeseran sengit kalangan pemimpin yang pernah berlaku dalam tempoh dua dekad PKR menjadi parti politik utama negara ini, presiden pertama PKR itu yakin pergolakan akan lebih mematangkan parti dan menyifatkannya sekadar áir berkocak dalam cawan’.

“… tak akan sampai tumpah ke lantai. Ibarat carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri wanita pertama negara.

Mengingatkan semula peristiwa pemilihan di Kemaman pada 2000, yang menyaksikan pemilihan kali pertama memperlihatkan pertembungan sengit yang hampir melumpuhkan parti, Dr Wan Azizah berkata ketika itu beliau bimbang parti yang dibina dengan keringat dan air mata, dengan segala kepayahan dan derita dimusnahkan dengan budaya rosak yang diciplak daripada parti musuh.

“Namun pertembungan paling sengit adalah pada pemilihan 2018 ketika kita berada di puncak kuasa. Pada masa itu saya merasakan bahawa parti ini seolah-olah tidak lagi seperti parti yang pernah saya pimpin sejak 1999.

“Parti ini sudah jadi lain dengan cara gaya berkempen yang hebat mengalahkan PRU, calon-calon terdiri daripada menteri-menteri kabinet, menteri besar, exco kerajaan negeri dengan pelbagai jawatan dan pangkat yang bukan calang-calang,” katanya.

Beliau berkata dinamika menyelesaikan cabaran itu menjadikan PKR terus kukuh, relevan dan berkembang sehingga menjadi parti terbesar dianggotai pelbagai kaum dalam Pakatan Harapan (PH) merentasi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sehingga berjaya menubuhkan cabang Tanjung Manis iaitu cabang ke-222.

Mengingatkan seluruh anggota terutama anak muda dalam PKR mengenai intipati perjuangan parti sejak 20 tahun lepas, beliau bersyukur PKR kini berjaya melahirkan sebarisan kepemimpinan dan tokoh besar yang kini menerajui sebuah negara dengan aspirasi baharu.

Mengingatkan bahawa PKR yang diasaskan dengan kerangka perjuangan menerusi Deklarasi Permatang Pauh, Ibu Reformasi itu turut membacakan tujuh intipati deklarasi bahawa ‘gerakan reformasi’ untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi, memperjuangkan keadilan ekonomi, menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya.

Penuh bersemangat, Dr Wan Azizah melahirkan keyakinan bahawa kongres kali ini akan berjaya menyatukan kembali saf kepimpinan parti dan PKR akan terus kukuh sebagai parti pendukung aspirasi rakyat.

“Kita rapatkan kembali semua saf kepimpinan parti bagi mendepani cabaran membina semula Malaysia Baharu dan melaksanakan janji-janji yang dibuat kepada rakyat,” katanya.

Usai berucap, Dr Wan Azizah dikejutkan dengan sambutan majlis harijadi beliau yang jatuh pada 2 Dis lepas apabila beberapa perwakilan membawa jambangan bunga untuk beliau sambil diiringi nyanyian lagu ‘Állah Selamatkan Kamu’ sebagai meraikan sambutan itu.

Sementara itu, pada sidang media, beliau berkata provokasi yang menimbulkan kekecohan pada kongres tahunan AMK pagi ini tidak sepatutnya menjadi budaya seorang anggota PKR dan tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Ini bagi mengelakkan kejadian seumpama itu tidak menjadi budaya dalam parti. Ini tidak sepatutnya menjadi budaya kita sebagai rakyat Malaysia, kita boleh memahami dan kita boleh duduk bersama antara satu sama lain dan selesaikan masalah dengan secara baik,” katanya.

Mengenai tindakan Timbalan Ketua AMK Hilman Idham yang memboikot kongres itu kerana mendakwa ratusan perwakilan dan pemerhati sah dihalang sekumpulan pemuda berbaju hitam daripada memasuki dewan ketika kongres AMK pagi ini, Dr Wan Azizah berkata: “Datanglah, ini kongres kita. Mereka dialu-alukan untuk hadir.”

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )