Hiperinflasi tidak pernah berlaku di Malaysia – Kementerian Ekonomi

Hiperinflasi tidak pernah berlaku di Malaysia – Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR,. Hiperinflasi tidak pernah terjadi di Malaysia dan kerajaan berharap keadaan itu tidak akan berlaku, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan kadar tertinggi inflasi yang pernah dicatatkan Malaysia terjadi pada 1974, iaitu sebanyak 17.3 peratus.

“Kenaikan inflasi pada tahun tersebut adalah disebabkan oleh krisis harga minyak mentah dunia.

“Oleh kerana kepelbagaian sumber ekonomi, negara tidak begitu terdedah kepada mana-mana punca yang menyebabkan peningkatan inflasi secara mendadak,” menurutnya dalam jawapan bertulis Dewan Negara bertarikh 27 November 2023, yang disiarkan di laman web Parlimen.

Kementerian Ekonomi menjelaskan demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai kesediaan kerajaan supaya tidak berlaku hiperinflasi disebabkan oleh pengapungan harga ayam, pemansuhan subsidi diesel dan kenaikan harga beras.

Kadar inflasi diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi menilai perubahan harga purata item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan untuk satu tempoh masa tertentu dab kadar inflasi yang optimum biasanya bertumbuh di sekitar dua hingga tiga peratus, tambahnya.

Kementerian itu memaklumkan, berdasarkan laporan oleh Bank Dunia, hiperinflasi akan berlaku sekiranya pertumbuhan inflasi melebihi kadar 50 peratus.

Antara punca dan faktor berlakunya hiperinflasi ialah kejatuhan atau peningkatan harga minyak secara mendadak serta kedudukan fiskal yang tidak mampan telah mendorong kepada kejatuhan nilai mata wang tempatan dan mendorong kepada peningkatan inflasi, menurutnya.

Kementerian itu juga menjelaskan tindakan bank pusat yang mencetak mata wang secara berlebihan dan kegagalan melaksanakan dasar yang bersesuaian mengikut keadaan ekonomi semasa turut menyumbang kepada hiperinflasi.
Kerajaan sentiasa cakna dengan isu semasa melibatkan kepentingan rakyat terutama berkaitan peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

“Kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam pada 1 Nov, 2023 setelah mengambil kira kedudukan inflasi makanan yang semakin mereda,” tambahnya.

Selain itu, langkah untuk menyemak semula subsidi diesel pula dijangka tidak memberi kesan yang besar kepada inflasi memandangkan cadangan semakan semula subsidi diesel hanya melibatkan kenderaan persendirian, tambahnya.

“Bagi perkhidmatan pengangkutan dan barangan pula, kerajaan pada masa ini, masih melaksanakan pemberian subsidi.

Namun peruntukan subsidi akan dikurangkan apabila langkah penyasaran semula subsidi dilaksanakan,” jelasnya,
Menurut Kementerian Ekonomi, bagi memastikan tidak berlaku hiperinflasi disebabkan oleh kenaikan harga beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengumumkan beberapa langkah intervensi termasuk melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi isu kekurangan bekalan beras putih tempatan.

“Berdasarkan kestabilan dan asas ekonomi negara yang kukuh dan berdaya tahan, kerajaan yakin akan dapat mengurus ekonomi dengan lebih baik bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

“Ini disokong oleh dasar berstruktur yang diumumkan seperti Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, Dasar Pelaburan Baharu (NIP), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang akan menarik lebih banyak pelaburan bagi meningkatkan lagi ekonomi negara,” tambah kementerian itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)