Hishamuddin Abdul Karim Ketua BERSATU Kota Melaka

Hishamuddin Abdul Karim Ketua BERSATU Kota Melaka

MELAKA,. EXCO Kerajaan negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad, gagal mempertahankan jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Melaka dalam pertandingan empat penjuru, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, tewas kepada pencabarnya, Hishamuddin Abdul Karim dengan majoriti 174 undi.

EXCO di Jabatan Ketua Menteri Melaka itu memperoleh 260 undi berbanding Hishamuddin yang mendapat 434 undi, manakala dua lagi calon iaitu Mohd Hasrul Halaluddin (261 undi) dan Mohamad Rashidi Othman (lapan undi).

Dalam keputusan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU Melaka, malam tadi, turut menyaksikan jawatan Timbalan Ketua dimenangi Mohamad Nazim A Samad yang mendapat 420 undi, menewaskan tiga pencabarnya iaitu Mohamed Azzad Mohamed Ali (266 undi), Adillah Jamaludin (206 undi) dan Mohd Ali Sayed Muhammad (73 undi).

Bagi jawatan Naib Ketua pula, dimenangi Abdul Rasif Osman (423 undi), menewaskan Abdul Malek Yunos dan Mohd Azahar Abdul Hamid (masing-masing 269 undi).

Sementara itu, EXCO NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri yang juga ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mempertahankan jawatan Ketua BERSATU Bahagian Tangga Batu selepas memperoleh 610 undi, sekali gus mengenepikan pencabarnya, Dzulkarnain Saiful Nathan yang hanya mendapat 199 undi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua pula, Mohamad Ridzwan Mustafa yang mendapat 594 undi berbanding pencabarnya, Lal Sabri Lal Muhammad (210 undi), manakala Naib Ketua pula dimenangi Adha Zulkarnain selepas memperoleh 583 undi mengalahkan Mohd Zaki Abdul Kadir (217 undi).

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)