
Hong Kong tidak menaruh harapan tinggi ketika bertemu Malaysia
PETALING JAYA,. Kesukaran dihadapi skuad kebangsaan Hong Kong dalam beberapa bulan sebelum ini membuatkan pasukan “The Strength” tidak menaruh harapan tinggi untuk memburu kemenangan ke atas Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini (Rabu).
Bahkan, perlawanan menentang Malaysia merupakan perlawanan pertama mereka sejak Jun tahun lepas dan setelah mereka diletakkan dalam Kumpulan D pada Kelayakan Piala Asia 2023 berhadapan tuan rumah India, Afghanistan dan Kemboja.
Ketua Jurulatih Hong Kong Jorn Andersen berkata anak-anak buahnya tidak berpeluang untuk menjalani latihan selama empat bulan berikutan sekatan yang dikenakan Kerajaan Hong Kong kerana pandemik COVID-19 dan beliau hanya dapat mengumpulkan pemainnya awal bulan ini.
Beliau berkata keadaan ini membuatkan sukar baginya yang dilantik Disember tahun lepas untuk membina semula skuad itu menjadi sebuah pasukan yang kompetitif.
“Sejak awal Mei kami mempunyai kumpulan yang lebih besar untuk kerja-kerja asas dan keadaan tidak begitu baik ketika itu, pada pertengahan Mei kami berlepas ke Thailand dan berada di sana selama dua minggu dan saling bekerjasama dengan baik. Kini kami bersama-sama untuk empat minggu.
Sekarang saya gembira kerana mendapat peluang perlawanan ujian ini di sini menentang Malaysia,” katanya ketika sidang akhbar praperlawanan di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini pada Selasa.
Membandingkan pasukannya dengan skuad negara, jurulatih kelahiran Norway itu berkata pasukannya tidak bernasib baik seperti skuad Malaysia yang tidak berhadapan kekangan untuk melaksanakan perlawanan liga dan mengadakan kem latihan pusat.
Bagaimanapun, beliau mempunyai pengetahuan mengenai gaya permainan Malaysia selepas membimbing skuad Korea Utara yang menang dua kali ketika menentang skuad kebangsaan pada pusingan kelayakan Piala Asia 2017.
“Saya bertemu Malaysia dua kali dalam kelayakan 2017 jadi saya tahu serba sedikit mengenai bola sepak Malaysia dan sudah tentu selepas mengkaji pasukan Malaysia sekarang terutamanya selepas perlawanan dengan Brunei dan perlawanan sebelumnya, jadi saya rasa ia merupakan ujian yang baik untuk berhadapan dengan Malaysia.
Mereka (Malaysia) adalah lebih kurang sama kategori dengan kami dan mereka mungkin bermain seperti semua pasukan yang bakal kami hadapi dalam Kelayakan Piala Asia,” katanya.
Perlawanan esok juga merupakan perlawanan persahabatan terakhir skuad Harimau Malaya sebelum memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional di sini menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun.
— BERNAMA