Huawei, MCMC kerjasama perkasa pemimpin bagi mengemudi sempadan teknologi
KUALA LUMPUR,. Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan program pembangunan bakat iaitu Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital: Mengemudi Sempadan Teknologi.
Inisiatif itu bertujuan memperkasakan pemimpin merentas industri dan sektor awam dengan kemahiran dan pengetahuan penting mengenai transformasi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata pihaknya menekankan kepentingan bagi pemimpin organisasi, kementerian dan akademia mendalami pelbagai domain teknologi untuk memacu penggunaannya dan memanfaatkan keupayaan transformasi ke arah mencipta hasil lebih baik tanpa mengira sektor atau industri.
“Program ini, dibangunkan oleh Huawei Malaysia dan MCMC, membantu dalam merealisasikannya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital selama lapan bulan itu menawarkan pendekatan pembelajaran bersepadu yang komprehensif, merangkumi pembelajaran dalam talian, bengkel, penyertaan dalam persidangan Huawei, penempatan praktikal, projek kecemerlangan di Huawei Malaysia, dan lawatan industri selama tujuh hari ke China.
Program itu akan melibatkan sebanyak 300 peserta yang memegang jawatan kepimpinan meliputi agensi kerajaan, industri dan akademia dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini, dengan pengambilan pertama sebanyak 50 peserta dijadualkan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Lapan domain utama yang terkandung dalam 32 modul adalah kepimpinan, teknologi 5G, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda, pengkomputeran awan, data raya, teknologi hijau dan kesalamatan siber.
Memorandum persefahaman bagi kerjasama antara MCMC dan Huawei Malaysia untuk melaksanakan program itu telah ditandatangani di Mobile World Congress 2024 di Barcelona, Sepanyol bulan lepas.
— BERNAMA