
Hutang sektor awam meningkat kepada RM1.2 trilion
KUALA LUMPUR,. Hutang sektor awam meningkat kepada RM1.2 trilion atau 85.5 peratus sehingga akhir Jun 2020 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan oleh defisit fiskal yang lebih tinggi untuk membiayai langkah rangsangan ekonomi berikutan pandemik COVID-19, kata Kementerian Kewangan.
Tahun lepas, jumlahnya adalah RM1.136 trilion atau 75.2 peratus daripada KDNK, katanya dalam Laporan Tinjauan Fiskal 2021 yang dikeluarkan di sini hari ini.
Hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM854.1 bilion atau 69.4 peratus merupakan komponen terbesar hutang sektor awam manakala baki hutang merangkumi liabiliti Syarikat Awam Bukan Kewangan (SABK) berjumlah 24.4 peratus dan badan berkanun 6.2 peratus.
Sementara itu, hutang badan berkanun yang dijamin meningkat kepada RM75.7 bilion, terutamanya disebabkan oleh tambahan terbitan sukuk Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi membiayai pinjaman perumahan penjawat awam, katanya.
Selain itu, kementerian itu menjelaskan hutang SABK turut meningkat kepada RM300.4 bilion, termasuk tambahan pengeluaran fasiliti pembiayaan untuk perbelanjaan modal berkaitan projek pembangunan transit aliran massa (MRT) serta pelaburan dalam sektor minyak dan gas.
Hutang sektor awam merangkumi hutang disatukan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan SABK serta hutang badan berkanun yang dijamin kerajaan, katanya.
— BERNAMA