IAIS Malaysia rayu 19 pemimpin agama dunia sokong gencatan senjata di Gaza

IAIS Malaysia rayu 19 pemimpin agama dunia sokong gencatan senjata di Gaza

KUALA LUMPUR,. Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Prof Maszlee Malik telah mengutuskan surat kepada 19 pemimpin agama global, merayu kebijaksanaan dan pengaruh mereka untuk menyokong gencatan senjata segera di Gaza.

Maszlee berkata, surat-surat berkenaan antara lain ditujukan kepada tokoh-tokoh berpengaruh termasuk Mufti Besar Arab Saudi, Presiden Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa, Imam Besar Al-Azhar, Pope Francis, Dalai Lama, Ayatollah Ali Khamenei, Patriark Ekumenikal Bartholomew I, Uskup Agung Canterbury, Ketua Rabbi Ephraim Mirvis.

Beliau berkata, kandungan surat-surat berkenaan meminta mereka menggunakan pengaruh masing-masing untuk mendesak keamanan dan bantuan kemanusiaan di Gaza.

“Tahap krisis kemanusiaan yang teruk menuntut penyatuan usaha untuk menghentikan pembunuhan kanak-kanak dan orang awam, menamatkan pengeboman hospital dan sekolah dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Maszlee berkata, IAIS Malaysia akan terus meningkatkan diplomasi agama sebagai satu cara untuk mempromosi keamanan dan kemampanan global.

Organisasi itu memahami pentingnya kerjasama antara agama dan peranan penting yang dimainkan oleh pemimpin agama dalam memupuk perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat yang pelbagai, katanya.

Maszlee berkata, gesaan untuk gencatan senjata berakar umbi dalam prinsip belas kasihan, dialog, dan usaha mencari keadilan – tonggak yang sangat penting dalam agenda nasional MADANI, yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, IAIS Malaysia komited untuk memajukan agenda ini, dengan ‘Ihsan’ merupakan tonggak pentingnya.

“Promosi belas ihsan dan empati, tonggak kepada agenda MADANI, merupakan keutamaan kami dalam menggesa gencatan senjata di Gaza. Kami yakin bahawa nilai-nilai ini penting dalam membina jambatan, memupuk persefahaman, dan akhirnya menyumbang kepada dunia yang lebih aman, damai dan harmoni,” katanya.

IAIS Malaysia tidak berbelah-bahagi dalam komitmennya untuk menyokong keamanan, toleransi dan dialog antara agama, kata Maszlee, sambil menambah bahawa institusi itu menggalakkan penglibatan dan kerjasama para pemimpin agama di seluruh dunia untuk mewujudkan dunia yangh ihsan, harmoni dan aman.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )