Ibu bapa jangan sembunyi anak berkeperluan khas – Pengerusi Yayasan Rythm

Ibu bapa jangan sembunyi anak berkeperluan khas – Pengerusi Yayasan Rythm

KUALA LUMPUR,. Ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas tidak seharusnya menyembunyikan status anak mereka daripada orang ramai kerana ia boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak itu pada masa hadapan.

Pengerusi Yayasan Raise Yourself to Help Mankind (Rythm), Datin Seri Umayal Eswaran berkata, ibu bapa sepatutnya membiarkan anak-anak mereka bergaul dengan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanak-kanak berkeperluan khas.

“Perkara pertama sebagai ibu bapa dan masyarakat, kita tidak boleh mengabaikan mereka, kita perlu menerima kewujudan mereka.

“Setelah itu, barulah kita boleh meneruskan apa yang perlu dilakukan seperti menyebarkan kesedaran kepada orang ramai.

“Apa yang kita mahu lihat ialah kanak-kanak itu dapat hidup secara normal. Jadi ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas, mereka boleh menghantar mereka ke Sekolah Taarana kerana kami boleh membantu mereka,” katanya kepada media semasa Hari Tahunan Sekolah Taarana, di sini, pada Sabtu.

Sekolah Taarana, yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Yayasan Rythm, menyediakan bantuan dan sumber untuk kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas.

Sekolah tersebut berusaha untuk mencungkil potensi kanak-kanak dan membantu mereka mengenal pasti kekuatan serta menyediakan mereka untuk berdikari dan menjalani kehidupan yang baik.

Sementara itu, Amin Mohd Shariffudin, bapa kepada Muhammad Kamil Muiz, seorang pelajar di Sekolah Taarana berkata, anaknya membina kemahiran sosial dan asas sejak bersekolah di situ.

“Anak saya sebelum menyertai Taarana ada masalah kelakuan. Selepas masuk dia belajar untuk lebih berdisiplin.
“Dari segi kemahiran sosial pun meningkat. Dia belajar cara berkawan, lebih bertimbang rasa dan sudah boleh dengar arahan dengan lebih baik,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)