Ibu tunggal rugi hampir RM1 juta

Ibu tunggal rugi hampir RM1 juta

BUKIT MERTAJAM,. Seorang ibu tunggal di Alma di sini, kerugian hampir RM1 juta kerana terperdaya dengan ‘Love Scam’ yang berlarutan selama lebih dua tahun sejak April 2019 hingga bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata wanita berusia 58 tahun yang bekerja sebagai kerani akaun sebuah pasar raya di sini, mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki yang mengaku tinggal di Amerika Syarikat, melalui Instagram.

“Mangsa mengenali lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘William Schang’ tersebut pada April 2019 sebelum mereka bertukar nombor telefon dan terus berhubung sehingga menjalinkan cinta secara maya.

“Suspek kemudiannya meminta untuk meminjam wang daripada mangsa, kononnya mempunyai masalah kewangan bagi membiayai urusan perniagaan cari gali petroleum miliknya di Amerika Syarikat, serta berjanji untuk membayar semula dengan komisyen,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya wanita itu yang percaya dengan janji lelaki tersebut telah melakukan 50 transaksi sejak 9 April 2019 hingga Februari lepas ke lima akaun tempatan membabitkan wang secara keseluruhan berjumlah RM927,400.

Shafee berkata wanita itu dipercayai mengeluarkan duit simpanannya dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk diberikan kepada suspek dan hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi lelaki tersebut setelah memindahkan kesemua wang berkenaan.

“Mangsa yang menyedari telah menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT semalam (kelmarin) dan polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun digunakan sindiket tersebut untuk menipu wanita itu,” katanya.

Katanya siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan keldai akaun untuk setiap transaksi malah semakan mendapati empat daripada lima nombor akaun itu mempunyai laporan bersangkut kes penipuan di beberapa negeri lain.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )