IGEM 2019 jana nilai eksport RM180 juta

IGEM 2019 jana nilai eksport RM180 juta

KUALA LUMPUR,. Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di Pameran Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2019) baru-baru ini berjaya menjana nilai eksport sebanyak RM180 juta, sekali gus membuktikan peningkatan minat terhadap produk hijau tempatan.

IGEM 2019 telah diadakan pada 9-11 Oktober lepas manakala INSP itu dianjurkan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malasia (MATRADE).

Dalam satu kenyataan, MATRADE berkata INSP itu menyaksikan pembeli daripada lebih 30 negara seperti Argentina, Amerika Syarikat dan Netherlands yang dipadankan dengan 60 pembekal Malaysia.

Antara produk yang mendapat minat ketara pembeli termasuk produk hijau berkaitan pembinaan seperti lampu LED dan panel solar, produk berkaitan dengan biojisim, penyelesaian pengurusan sisa serta perkhidmatan berkaitan dengan pengurusan dan kemudahan alam sekitar.

Pengarah Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga MATRADE, Jai Shankar berkata perniagaan hijau merupakan satu perniagaan pintar kerana membabitkan teknologi dan sumber lebih bersih dan mapan untuk aspek komersial dan ruang penginapan.

“Perniagaan hijau misalnya adalah mampan kerana dunia semakin mengutamakan usaha mewujudkan ekonomi yang lebih bersifat keliling.

“Malaysia sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan juga mempunyai banyak manfaat untuk mempromosikan perniagaan hijau dalam kalangan pengeksport dan pembeli dunia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)