IKIM lancar Koleksi Khas Tamadun Islam perpustakaannya

KUALA LUMPUR,. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini melancarkan Koleksi Khas Tamadun Islam perpustakaannya yang diperoleh pada 2008 melalui geran khas kerajaan.

Pada pelancaran yang disempurnakan oleh Pengerusi IKIM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan hanya dihadiri oleh jemputan serta turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial IKIM pada Jumaat, koleksi pelbagai bahasa merangkumi 8,001 jilid buku dan jurnal mengenai pelbagai subjek berkaitan peradaban Islam diperkenalkan.

“Antaranya ialah karya-karya nadir dari abad ke-17, ke-18, ke-19 dan awal abad ke-20. Khazanah berharga ini ditempatkan di ruang khas di perpustakaan institut ini dan kini dapat diakses secara rasmi oleh para penyelidik dan sarjana.

“IKIM juga sedang mengusahakan pendigitalan keseluruhan koleksi dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia,” kata IKIM dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, koleksi berharga tersebut menjadikan perpustakaan IKIM sebagai antara segelintir perpustakaan di Malaysia dan mungkin juga di Asia Tenggara yang memiliki koleksi seumpama.

Koleksi tersebut merangkumi karya agung berkaitan seni bina hingga seni hiasan, karya-karya yang kurang dikenali mengenai senjata dan perisai, tekstil, tembikar, barangan logam, kaca dan ciri-ciri hiasan yang memberikan keunikan kepada kesenian Islam.

Koleksi itu turut meliputi pelbagai domain geografi dari kawasan asal umat Islam di Semenanjung Tanah Arab hingga ke Turki, Parsi, Afrika Utara, selatan Sahara di Afrika, Sepanyol, India, Asia Tengah dan Kepulauan Melayu.

Sementara itu, Ahmad Sarji dalam ucapannya berkata IKIM sedang berbincang dengan Arkib Negara Malaysia mengenai kaedah menjaga buku-buku tersebut, termasuk membaik pulih naskhah yang rosak dan pendigitalan koleksi bagi memastikan aset negara yang tidak ternilai berkenaan dapat dipelihara.

Katanya perbincangan itu akan membuka laluan untuk pemeteraian memorandum perjanjian di antara kedua-dua pihak.

“Kami berharap Koleksi Khas ini dapat menarik minat sarjana dan penyelidik. Koleksi Khas ini telah dikatalogkan sepenuhnya dan kini dapat diakses untuk carian dalam talian melalui laman web Perpustakaan IKIM.

“Penggunaan Koleksi Khas ini akan ditadbir dengan peraturan dan undang-undang seperti institusi lebih ternama yang mempunyai koleksi serupa iaitu Bodleian Library di Universiti Oxford, perpustakaan Universiti Cambridge dan Perpustakaan Negara Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )