Iklan mengelirukan,151 laman sesawang, 319 akaun media sosial disekat –  Adham Baba

Iklan mengelirukan,151 laman sesawang, 319 akaun media sosial disekat – Adham Baba

PUTRAJAYA,. Kementerian Kesihatan (KKM) menyekat 151 laman sesawang dan 319 akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram sejak Januari 2018 hingga 19 Jun 2020 kerana mempromosikan produk makanan dengan iklan mengelirukan.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata dalam tempoh sama, sebanyak 71 amaran turut dikeluarkan terhadap pengiklanan yang menyalahi Akta Makanan 1983 (Akta 281), melibatkan kesalahan seperti akuan kesihatan yang boleh mencegah atau menyembuhkan pe-nyakit.

Bagi mengelakkan daripada berterusan, KKM membangunkan Garis Panduan Pengiklanan Makanan yang akan menjadi rujukan kepada pengiklan atau pihak industri agar mematuhi keperluan Akta 281, katanya.

“Garis panduan ini menyediakan keperluan keselamatan makanan di semua peringkat, khusus untuk makanan yang dipasarkan secara dalam talian melalui media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Facebook dan lain-lain,” katanya semasa pelancaran garis panduan itu yang diadakan bersempena sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia, di sini semalam.

Menurut Dr Adham, pelancaran garis panduan itu bertepatan dengan situasi semasa apabila rakyat telah beradaptasi dengan norma baharu memesan makanan secara dalam talian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas bagi menangani wabak COVID-19.

Selain iklan secara dalam talian, garis panduan dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) itu juga boleh dijadikan rujukan pengeluar, penjual produk dan ejen pengiklanan makanan yang lain termasuk di pasar, pasar raya dan kedai runcit, katanya.

Mengenai Hari Keselamatan Makanan Sedunia, Dr Adham berkata sambutan bertemakan ‘Keselamatan Makanan di Pasar’ (Safe Food in Markets) yang sepatutnya disambut pada 7 Jun lepas, terpaksa ditangguhkan ke hari ini (semalam) berikutan pandemik COVID-19.

Bagi memastikan kese-lamatan makanan di pasar awam, katanya KKM telah mengambil sebanyak 20,492 sampel makanan dan bahan mentah dari lebih 400 pasar di seluruh negara untuk dianalisis sejak Januari 2018 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 853 atau empat peratus sampel tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Pera-turan Makanan 1985, antaranya tercemar dengan mikroorganisma atau bahan kimia.

“Kita mengambil sampel secara rawak dan berkala. Ini pemantauan yang perlu dibuat untuk menguji bahan-bahan yang mungkin boleh menyebabkan pencemaran makanan. Kita melihat pelbagai sudut ketidakpatuhan sampel, contohnya histamin dalam ikan yang boleh menyebabkan ikan itu besar dan segar,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Adham berkata kejadian keracunan makanan di negara ini masih terkawal dengan 516 kejadian dilaporkan di seluruh negara pada tahun lepas, manakala pada tahun ini sehingga 25 Julai lepas, sebanyak 163 kejadian telah dilaporkan. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)