IMF : Pertumbuhan global 2020 dijangka -4.4 peratus

IMF : Pertumbuhan global 2020 dijangka -4.4 peratus

KUALA LUMPUR,. Pertumbuhan global diunjurkan sebanyak −4.4 peratus pada 2020, semakan kenaikan sebanyak 0.8 peratus berbanding unjuran semasa Jun lepas berikutan aktiviti yang semakin bertambah baik, terutamanya dalam ekonomi maju, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Semakan ini mencerminkan pertumbuhan suku kedua KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang lebih positif daripada jangkaan, kebanyakannya dalam ekonomi maju, yang mana aktiviti pulih lebih awal daripada jangkaan selepas sekatan mula dikendurkan pada Mei dan Jun termasuk petunjuk pemulihan yang lebih kukuh pada suku ketiga.”

Pertumbuhan global diramalkan sebanyak 5.2 peratus pada 2021, lebih rendah berbanding kemas kini Jun 2020 Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO), menggambarkan kemerosotan yang lebih sederhana yang diunjurkan bagi 2020 dan konsisten dengan jangkaan penjarakan sosial yang berterusan, kata IMF dalam kemas kini terbaharu.

Susulan penguncupan pada 2020 dan pemulihan semasa 2021, tahap KDNK global pada tahun hadapan dijangka menjadi sederhana sebanyak 0.6 peratus. tinggi sedikit berbanding 2019, katanya dalam kemas kini yang bertajuk “Peningkatan Yang Sukar dan Panjang.”

Unjuran pertumbuhan ini membayangkan jurang output negatif yang meluas dan peningkatan kadar pengangguran yang disaksikan dalam tahun ini serta 2021 merentasi ekonomi pasaran maju dan baru muncul.

Selepas pemulihan pada 2021, pertumbuhan global diramalkan perlahan secara beransur-ansur iaitu kepada kira-kira 3.5 peratus dalam jangka sederhana, katanya.

“Ini membayangkan kemajuan yang sangat terhad dalam mengejar laluan aktiviti ekonomi bagi 2020-25 yang diunjurkan sebelum pandemik untuk pasaran maju dan baru muncul termasuk dalam ekonomi membangun.”

Penjarakan sosial akan berterusan sehingga 2021 tetapi akan mula berkurangan dari masa ke masa apabila pengedaran vaksin meluas dan tahap kesihatan bertambah baik. Jangkitan setempat diandaikan akan menyusut ke paras terendah menjelang akhir 2022.

Di luar pandemik, kerjasama pelbagai hala diperlukan untuk menangani ketegangan perdagangan dan teknologi antara negara termasuk merapatkan jurang, misalnya dalam perdagangan perkhidmatan serta sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.

Negara-negara juga mesti bertindak secara kolektif untuk melaksanakan komitmen mitigasi perubahan persekitaran mereka, katanya.

Komuniti global juga perlu mengambil langkah segera untuk mengukuhkan pertahanan terhadap krisis kesihatan, contohnya dengan menambah stok peralatan perlindungan dan bekalan perubatan penting, penyelidikan pembiayaan serta memastikan bantuan berterusan yang mencukupi kepada negara-negara yang mempunyai kapasiti penjagaan kesihatan yang terhad, termasuk melalui sokongan organisasi antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )