Imigresen Gempur ‘Carwash’ Saji Gro Warga Asing di Kepong

KUALA LUMPUR , 16 Oktober (GERBANGPOST) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu dua buah premis pusat hiburan yang berselindung disebalik pusat mencuci kenderaan dan menyajikan pelayan pelanggan (GRO) warga asing di kawasan Kepong, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2021 dan berjaya menahan seramai 16 orang warga asing.

Operasi dijalankan ke atas dua lot premis rumah kedai dua tingkat. Pintu masuk utama ke premis ini tidak mempunyai papan tanda dan hanya dibuka separuh sahaja untuk pelanggan-pelanggan tetap. Manakala di satu lot lagi menggunakan papan tanda Pusat Mencuci Kenderaan bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa. Hasil pemantauan, premis tersebut dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi.

Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu premis premis ini pada jam 9.30 malam dengan kekuatan seramai 20 orang Pegawai Imigresen.

Semasa serbuan dilakukan, wanita-wanita warga asing dan pelanggan cuba untuk melarikan diri tetapi digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung oleh anggota serbuan. Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan aplikasi whatsapp / telegram bagi memancing pelanggan ke premis terbabit.

Dalam serbuan ini, seramai 16 orang wanita warga asing yang berumur diantara 22 hingga 35 tahun berjaya ditahan. Mereka terdiri daripada 13 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand. Dua lelaki tempatan yang merupakan pekerja premis dan 5 lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di premis tersebut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Hasil risikan, kegiatan tidak bermoral ini bermula dari jam 4:00 petang sehingga 12:00 malam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN). Premis ini juga direka seolah-olah tidak dikunjungi, namun apabila masuk ke dalam bangunan tersebut premis ini menyajikan pelbagai hiburan beserta pelayan pelanggan (GRO).

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-Dino

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )