Imigresen kaji semula perjawatan pegawai, tangani isu kesesakan di BSI dan KSAB

Imigresen kaji semula perjawatan pegawai, tangani isu kesesakan di BSI dan KSAB

KUALA LUMPUR,. Jabatan Imigresen Malaysia sedang menimbang untuk mengkaji semula perjawatan pegawainya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru bagi menangani masalah kesesakan di pintu masuk negara yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata perkara berkenaan akan melibatkan tambahan perjawatan baharu dan penyingkatan tempoh latihan bagi kadet di Akademi Imigresen bagi memenuhi keperluan perjawatan sedia ada dengan segera.

“…tetapi apa yang penting isu kesesakan ini menjadi perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) begitu juga Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) yang sentiasa proaktif untuk menambah baik proses kemasukan.

“…dan kalau tengok Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi juga turun padang bagi (meninjau dan mengambil langkah) melicinkan proses keluar masuk,” katanya selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Inisiatif Tangani Kesesakan Pintu Masuk Negara’, Rabu malam.

Beliau berkata secara purata pergerakan keluar masuk di BSI adalah seramai 250,000 orang sehari, namun jumlah itu boleh bertambah dua kali ganda ketika musim perayaan dan cuti panjang manakala purata pergerakan keluar masuk bagi KSAB adalah seramai 10,000 orang sehari.

Mengenai inisiatif jabatan itu bagi menangani kesesakan di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ruslin berkata pihaknya dalam perancangan untuk mewujudkan 12 kaunter tambahan termasuk dua kaunter pemerhati bagi melancarkan urusan kemasukan pelancong ke dalam negara.

“Insya-Allah hujung tahun ini kita dapat laksanakan dengan kerjasama strategik antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan bagi memudahkan lagi dan mempercepat proses,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan wujud budaya rasuah di pintu masuk negara, beliau berkata Jabatan Imigresen tidak akan bersikap defensif malah mengambil pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasaan bagi menjalankan siasatan.

“Saya tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kita ada hampir 15,000 kakitangan tetapi kerana segelintir, yang lain terpalit. Peranan dan jasa mereka dalam mempertahankan dan menjaga sempadan amat kuat, saya tak nak perkara ini memberi kesan kepada pegawai lain, menjatuhkan moral mereka untuk bertugas.

“Saya di peringkat pengurusan tertinggi akan bersama-sama dengan pegawai kita untuk memastikan perkhidmatan kita ini terus sampai kepada rakyat dengan lebih, cekap, efisien dan berintegriti,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )