
Imigresen Kelantan terima 97 permohonan program pulang ke negara asal
BACHOK,. Seramai 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Imigresen Kelantan (JIM) bagi menyertai program Pulang Ke Negara Asal atau ‘Back For Good’ yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Timbalan Pengarah JIM Kelantan, Siti Khadijah Hamzah berkata warga asing yang memohon setakat ini adalah dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.yang tiada sebarang dokumen ataupun yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.
“Program itu bermula 1 Ogos hingga 31 Disember depan sebelum tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.
“Kesemua mereka ini dikehendaki mendapatkan pasport atau dokumen dari kedutaan masing-masing serta menyediakan tiket sebelum hadir ke mana-mana pejabat JIM.
“Bagi proses ini mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM700 dan selepas kembali ke negara asal mereka akan disenarai hitamkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Jalinan Mesra Pegawai Kebajikan JIM di Rumah Anak Yatim Salimah di Telong di sini, hari ini.
Katanya kesemua warga asing yang melaporkan diri ke pejabat JIM diberikan tempoh selama tujuh hari untuk pulang ke negara asal selepas mendapatkan kesemua dokumen perjalanan.
Dalam perkembangan sama, Siti Khadijah berkata JIM Kelantan berjaya menahan seramai 930 pendatang tanpa izin (Pati) melalui 337 operasi bermula awal Januari hingga 5 September lepas.
Katanya majoriti warga asing yang ditahan adalah kerana tiada dokumen atau tinggal melebihi tempoh iaitu warga Bangladesh (290), Myanmar (243), Indonesia (153), Thailand (116) dan selebihnya dari lain-lain negara.
Siti Khadijah berkata program itu adalah yang pertama kali melibatkan Pegawai Kebajikan JIM dari seluruh negara dan mungkin akan menjadikan rumah anak yatim itu sebagai rumah angkat JIM.
“Kesemua pegawai yang terlibat adalah daripada seluruh negara yang mengikuti kursus dan program CSR ini adalah sebahagian daripada pengisian kursus yang bermula pada 7 hingga 11 Sept ini,” katanya.
— BERNAMA