Imigresen nafi berlaku kesesakan di lapangan terbang
PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen hari ini menafikan berlaku kesesakan di lapangan terbang antarabangsa di negara ini akibat dibanjiri pelancong warga China.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata rakaman video tular mendakwa berlaku kesesakan di lapangan terbang itu sebenarnya adalah video lama yang dirakamkan tahun lepas di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru semasa pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat COVID-19 ditamatkan.
“Video itu dirakamkan semasa pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Jabatan Imigresen juga menafikan bahawa rakaman tersebut telah dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata mengikut rekod, secara purata pergerakan keluar dan masuk di BSI adalah 250,000 pada hari biasa dan akan meningkat sekali ganda pada musim perayaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
— BERNAMA