Imigresen Perak Tahan 28 PATI dalam Ops Sapu di Ipoh

Imigresen Perak Tahan 28 PATI dalam Ops Sapu di Ipoh

IPOH, 7 Februari 2025 – Sebanyak 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak di sekitar daerah Kinta baru-baru ini.

Menurut Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, operasi yang dinamakan Ops Sapu itu melibatkan serbuan di 10 premis bermula Selasa malam hingga awal pagi Rabu.

“Serbuan ini dilakukan hasil aduan awam dan pemantauan yang telah dijalankan sebelum ini. Sebanyak 51 individu diperiksa, terdiri daripada warga tempatan dan warga asing, dengan 28 daripada mereka ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki, 11 wanita, dan seorang kanak-kanak berusia antara 10 hingga 55 tahun.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Ipoh bagi siasatan lanjut. Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah, serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.

Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak Imigresen dalam membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )