Imigresen Serbu Rumah Kongsi Tawar Perkhidmatan Seks

Imigresen Serbu Rumah Kongsi Tawar Perkhidmatan Seks

SELANGOR – Awal pagi tadi pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melakukan operasi bersepadu yang turut melibat beberapa agensi berkaitan seperti Polis Gerak Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan 136 anggota telah menggempur rumah kongsi bertempat di Eco Majestic Kajang. Operasi ini juga turut disertai Ketua Pengarah JIM, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud yang turut turun padang memantau operasi anak buahnya.

Serbuan dilakukan hasil risikan Pasukan Risikan Khas JIM sejak beberapa minggu lalu yang mengesyaki berlakunya beberapa kesalahan yang melanggar Akta Pekerja Asing terutama tentang penyalahgunaan pas serta tidak mempunyai permit kerja yang sah yang membawa kepada kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Dalam operasi tersebut seramai 326 pekerja asing diperiksa dan didapati seramai 297 orang ditahan akibat pelbagai kesalahan yang dikesan manakala selebihnya dilepaskan kerana mempunyai dokumen yang sah. Mereka terdiri dari pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.

Malah pihak Imigresen juga hairan semasa serbuan anggota Imigresen berjaya menahan seorang warga Ghana yang cuba menyembunyikan diri ketika serbuan. Siasatan lanjut masih dilakukan. Pihak Imigresen jugak membuat siasatan lanjut mengapa di tapak rumah kongsi ini terdapat begitu ramai pekerja wanita terutama dari Vietnam serta Indonesia dan tidak menolak kemungkinan wujud unsur tidak sihat seperti penawaran khidmat seks di tapak ini.

Hasil serbuan juga menemui beberapa kesalahan lain seperti rumah kongsi ini juga menggunakan tenaga elektrik secara tidak teratur dan disyaki menggunakannya secara haram tanpa pengetahuan pihak TNB. Tempat penginapan yang padat dan kotor serta tiada penjarakkan sosial antara pekerja asing ini boleh menjadi punca merebaknya wabak Covid-19.

Antara kesalahan yang dikenalpasti adalah tiada pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1960 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c). Kesemua tahanan telah dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan selanjutnya. Kesemua tahanan akan di bawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) dan PKD Seremban untuk menjalani saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Operasi tamat sekitar Jam 2.30 pagi.

-Joy Ryzal

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )