Imigresen tahan ‘Mama Bangla’, dalang pemalsuan pasport

Imigresen tahan ‘Mama Bangla’, dalang pemalsuan pasport

PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan pasport dan pas kerja warga asing, yang didalangi warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Mama Bangla’ dalam satu siri operasi di tiga lokasi berasingan, di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak 2017 di sekitar Kuala Lumpur, di mana suspek mengenakan bayaran sebanyak RM200 untuk senaskah pasport palsu, RM200 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan (Kerja Sementara) (PL (KS) palsu dan RM50 untuk i-Kad dan Kad CIDB palsu.

Katanya, kegiatan Mama Bangla yang berumur 25 tahun itu terbongkar, susulan penahanan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun di Brickfields, yang melalui soal siasat mendedahkan dalang sindiket.

Pemeriksaan terhadap lelaki berusia 39 tahun itu menemui satu sampul surat berisi empat naskah pasport Bangladesh, enam keping pelekat PL (KS) dan enam keping i-Kad yang kesemuanya disyaki palsu.

“Hasil maklumat tersebut, pasukan serbuan telah mengatur satu gerakan untuk mengumpan Mama Bangla keluar. Satu pertemuan diadakan di sekitar Jalan Munshi, Kuala Lumpur dan berhasil menangkap Mama Bangla,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Semasa ditahan, pihak Imigresen turut menjumpai dua naskah pasport Bangladesh bersamanya.

Suspek kemudiannya telah membawa pasukan Imigresen ke sebuah kondominium di Jalan Putramas di mana hasil serbuan menemui 17 naskah pasport warganegara asing dan enam keping pelekat PL (KS) yang kesemuanya dipercayai palsu.

“Turut dijumpai peralatan-peralatan untuk membuat dokumen palsu seperti komputer, mesin pencetak, alat pengimbas dan sebagainya,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata Mama Bangla ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan kesalahan di bawah Seksyen 55D kerana memalsukan dokumen.

Seorang lagi warga Bangladesh itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport bukan miliknya, Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan dokumen yang dipalsukan dan Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama kerana bersubahat.

Kedua-dua subjek ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)