Imigresen Tumpaskan Sindiket Persundalan Beroperasi Semasa Pkp

Imigresen Tumpaskan Sindiket Persundalan Beroperasi Semasa Pkp

Kuala Lumpur  (Gerbangpost)  – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah Hotel di Jalan Sungai Besi, Pudu, Kuala Lumpur pada jam 2.00 petang 23 April dan berjaya menahan seramai 26 orang warganegara asing dan 7 orang warga tempatan.

Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini JIM hanya melaksanakan omnipresent, ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku. Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warganegara asing yang cuba mengambil kesempatan.

Hasil serbuan yang diketuai sendiri oleh Pengarah Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa di Hotel tersebut telah menemui wanita warganegara asing di dalam bilik berasingan bersama pelanggan terdiri daripada lelaki warganegara Malaysia dan Pakistan. Turut ditemui di dalam bilik-bilik Hotel tersebut ialah sejumlah kondom yang telah dan belum digunakan serta peralatan seks. Selain itu, pasukan operasi juga turut menemui buku catatan rekod bayaran pelanggan.

Jumlah wanita warganegara asing yang ditangkap adalah 23 orang terdiri daripada 13 orang warganegara Thailand, tujuh Indonesia, dua Vietnam dan seorang Laos. Kesemua tangkapan yang berumur diantara 25 hingga 40 tahun dan akan disiasat atas kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat Pas Lawatan Sosial.

Turut ditangkap dalam serbuan berkenaan adalah tiga orang lelaki warganegara Malaysia yang bertindak sebagai agen kegiatan pelacuran tersebut disamping bertugas sebagai penjaga premis Hotel berkenaan. Kesemua mereka akan disiasat di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen. Hasil pemeriksaan juga menemui dua orang perempuan pekerja pembersihan warganegara Indonesia yang tidak memiliki Pas yang sah dan ditangkap kerana kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Modus operandi (MO) sindiket pesundalan yang didalangi rakyat tempatan ini adalah dengan menyiarkan gambar iklan perempuan berpakaian seksi melalui aplikasi wechat yang boleh ditempah melalui media sosial atau dilanggan secara walk-in untuk tujuan pesundalan. Setiap tempahan dan langganan dikenakan bayaran antara RM180.00 hingga RM300.00 bagi satu sesi dengan bilik hotel disediakan secara percuma.

Selain itu, empat orang lelaki warganegara Malaysia yang ditemui di dalam bilik bersama pasangan perempuan warganegara asing berkenaan turut ditangkap di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2020. Pegawai-pegawai kanan imigresen turut diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan di bawah seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] bagi menguatkuasakan Peraturan ini.

Pelanggan lain yang ditangkap seorang lelaki warganegara Pakistan yang didapati telah tinggal lebih masa selepas tamat tempoh Pas dan akan disiasat di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam operasi khas ini, turut ditemui ialah wang tunai berjumlah RM20,656.45 yang telah dirampas dan akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Semua tahanan warganegara asing akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Semenyih. Sebagai langkah pencegahan penyebaran COVID-19, mereka akan disaring oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Depot sebelum direman untuk siasatan dan pendakwaan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )