‘In-Car Viewing Party’ untuk penyokong tonton perlawanan JDT-Sabah

‘In-Car Viewing Party’ untuk penyokong tonton perlawanan JDT-Sabah

ISKANDAR PUTERI,. Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengabadikan detik kemenangan mereka merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut malam ini dengan menampilkan sedikit kelainan, khusus buat peminat setia mereka.

Ini kerana buat pertama kalinya kelab itu mengadakan “In-Car Viewing Party”, yang membolehkan penyokongnya menonton perlawanan pasukan kesayangan mereka menentang Sabah secara langsung dari dalam kenderaan masing-masing menerusi lima skrin layar gergasi disediakan.

Program itu yang diadakan di kawasan letak kenderaan terbuka di Stadium Sultan Ibrahim di sini, membenarkan sehingga 1,500 buah kenderaan penyokong mereka untuk menjadi sebahagian daripada sejarah baharu dilakar kelab itu.

Program dilangsungkan dengan konsep sebegitu setelah mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang masih menular dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan tidak diabaikan kerana terdapat langkah merekod kehadiran penyokong menggunakan aplikasi MySejahtera selain mengambil bacaan suhu badan mereka.

Sementara itu, di dalam stadium pula, kemenangan JDT menewaskan skuad The Rhinos dengan keputusan 4-1 untuk melayakkan mereka merangkul piala berprestij berkenaan, dirai dengan percikan bunga api pelbagai warna.

Ia berlaku sejurus sahaja kapten pasukan, Hariss Harun menjulang piala berkenaan sebelum disusuli sorakan rakan seperjuangannya.

Detik bersejarah berkenaan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ghani Ab Hassan dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim.

Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, pemilik JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga telah menyerahkan Sijil Anugerah Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman JDT kepada penyerang skuad, Gonzalo Cabrera kerana berjaya mencetak 57 gol sepanjang kariernya bersama pasukan berkenaan.

Pencapaian penyerang import dari Argentina itu memadamkan rekod yang pernah dicatat oleh Shafiq Rahim iaitu dengan sebanyak 56 gol.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)