India mahu OPEC tidak potong lebih banyak pengeluaran minyak
ABU DHABI,. India meminta Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak memotong lebih banyak pengeluaran minyak, memandangkan langkah itu boleh menjejaskan kepentingan pengguna, kata Menteri Minyak dan Gas Dharmendra Pradhan.
OPEC menyumbang 80 peratus daripada import minyak mentah India oleh itu apa jua potongan boleh menjejaskan keselamatan sektor tenaga negara.
“OPEC juga perlu melihat kepentingan pengguna. Dalam era teknologi dan…bahan bakar alternatif, kami yakin minyak memainkan peranan lebih besar dan berpanjangan untuk keperluan tenaga dunia, tetapi dengan harga yang wajar dan bersesuaian.
“Untuk memenuhi jangkaan itu, pemotongan pengeluaran yang lebih banyak dilihat tidak wajar. Harga juga perlu berpatutan,” kata Pradhan kepada agensi berita Sputnik.
Beliau berkata India juga menyeru pertubuhan untuk menghargai perubahan teknologi dan memastikan harga minyak yang berpatutan untuk manfaat pengguna dan pengeluar.
“Saya berharap pemimpin OPEC akan menilai aspek ini dan membuat keputusan mengenai keseimbangan pengeluaran,” ujar Pradhan.
— BERNAMA