Individu dari Zon Merah, pulang dari luar negara masuk ke Perlis diwajib jalani kuarantin

Individu dari Zon Merah, pulang dari luar negara masuk ke Perlis diwajib jalani kuarantin

KANGAR,. Semua individu dari Zon Merah dan mereka yang pulang dari luar negara yang ingin memasuki Perlis diwajibkan menjalani kuarantin mengikut arahan Jabatan Kesihatan di pusat kuarantin, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri Zon Hijau.
“Arahan ini bukan hanya untuk individu yang datang dari Zon Merah dan mereka yang pulang dari luar negara tetapi mereka yang pernah disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari Zon Hijau contohnya dari Pulau Pinang juga perlu menjalani kuarantin,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Azlan berkata sehingga Selasa, sejumlah 116 orang masih dikuarantin di tiga pusat kuarantin di Perlis dengan 49 ditempatkan di Institut Latihan Perindustrian, 43 di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis dan bakinya di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kangar.

Sementara itu, ditanya mengenai operasi premis makanan di Perlis sepanjang PKPB, Azlan berkata waktunya dilanjutkan sehingga 10 malam berbanding dari 8 pagi hingga 8 malam sebelum ini.

Katanya orang ramai dibenarkan makan di kedai namun pemilik premis perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil jika gagal berbuat demikian.

Mengulas aktiviti sukan dan rekreasi, beliau berkata orang ramai hanya dibenarkan melakukan aktiviti joging di Trek Denai Larian, Pengkalan Assam, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Taman Bukit Lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )