Indonesia akan ketuai G20 dengan semangat Bung Karno

Indonesia akan ketuai G20 dengan semangat Bung Karno

JAKARTA: Sebagai tuan rumah dan Pengerusi G20, Indonesia akan menunjukkan kepemimpinannya dalam menentukan arah ekonomi dunia dan memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun.
Komitmen ini seperti mengulangi apa yang dilakukan bekas presiden Indonesia pertama Sukarno, atau dikenali Bung Karno, yang menentang penjajahan selain mahukan negara-negara yang baharu merdeka menjalin kerjasama ekonomi dan budaya.

Sukarno, bapa pengasas Indonesia dan anak watan berkarisma dikenang sebagai pemimpin nasionalis yang penuh semangat dalam memperjuangkan kemerdekaan pada 1945 semasa menentang Belanda.

“Perjuangan ini seperti perjuangan Bung Karno dalam memimpin negara-negara Asia Afrika,” kata Presiden Joko Widodo di Kongres Persatuan Alumni Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia secara maya dari Istana Negara, hari ini.

“Sekarang ini, kita memimpin negara-negara terkaya dunia untuk membangun dunia yang lebih baik, yang lebih berkeadilan bagi kita semua, bagi masa depan dunia.” Joko Widodo yang menjadi Pengerusi G20 dari 1 Dis 2021 hingga 30 Nov 2022 turut berharap persatuan dapat menyumbang kepada kepemimpinan Indonesia di forum antarabangsa itu.

G20 merupakan forum kerjasama pelbagai hala yang terdiri daripada 19 negara utama dan Kesatuan Eropah ditubuhkan sejak 1999. Ia mewakili lebih daripada 60 peratus penduduk dunia, 75 peratus perdagangan global dan 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia.

Anggota G20 terdiri daripada Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Argentina, Australia, Brazil, India, Indonesia, Britain, Itali, Jerman, Kanada, Mexico, Korea Selatan, Rusia, Perancis, China, Turki dan Kesatuan Eropah.

Sementara itu, Joko Widodo menggesa ahli-ahli alumni supaya memiliki watak ‘trendsetter’ (pencipta trend) bukan ‘follower’ (pengikut) dalam menghadap era globalisasi dan persaingan sengit antarabangsa.

Revolusi Industri 4.0 telah mengganggu seluruh kehidupan masyarakat, manakala pandemik COVID-19 telah memaksa dunia untuk berhenti sebentar dan mengelola kehidupan dengan norma baharu.
“Dua disrupsi ini harus kita manfaatkan sebagai peluang, ini ada peluang,” kata Jokowi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)